Asingnya Tamu
“Mau
beritahukah atau simpan sendiri? Mau beritahukah atau simpan sendiri?”
berkira-kira Hapipie sambil mundar mandir di hadapan barisan gerai di dataran
Kong Fah itu. Beberapa pegerai menjeling padanya, mungkin meluat melihat
Hapipie bagaikan menganggu perjalanan niaga mereka kerana asyik mundar mandir
di situ. Hapipie berpura-pura tidak perasankan pandangan mereka. Setakat
bermundar-mandir sahaja di situ pun, bukannya dia buat aksi baring ala
bersantai di hadapan gerai mereka. Jadi, dia meneruskan aktivitinya sambil cuba
untuk tidak terlalu memikirkan tentang para pegerai di situ.
Saat Hapipie sedang mundar-mandir, Shah dan Julian datang
lalu menyergahnya. Hapipie terkejut
terus sahaja dia melompat di situ. Mengurut-urut dada, namun sempat dia
menampar lengan Shah yang sedang terkekeh mengetawakannya.
“Bagi salam bah lain
kali! Budaya apa kau pakai main sergah-sergah ni!” rungut Hapipie mendengus
kasar. Shah masih ketawa sampai mengeleng-gelengkan kepala, mungkin baginya
aksi Hapipie yang terkejut tadi setaraf dengan lawak antarabangsa. Sementara Julian
yang memegang sepaket jeruk kedondong cuma tersengih lebar.
“Sorrylah geng…
Aku bukannya apa, dari jauh lagi aku sudah nampak kau macam buat kawad kaki
depan Kong Fah ini. Saja bah mau
gurau-gurau, jangan marah bah kawan,”
Shah menjawab setelah tawanya reda. Hapipie menjeling padanya, masih sebal
dengan tindakan Shah tadi. Tentu pegerai-pegerai yang meluat dengannya tadi suka
hati apabila melihat dia buat aksi terlompat. Sudahlah dia tengah susah hati
sekarang. Kawan-kawannya ini tidak tahukah yang dia punyai masalah besar?
Mengingatkan masalah yang bertapa di kepalanya sebelum kedua kawannya datang
tadi, Hapipie tidak jadi hendak terus menayangkan mimik mukanya yang geram, dia
kembali kelihatan resah.
“Iyalah Pie, aku pun hairan tengok kau tadi. Kenapa? Kau
ada masalahkah?” Julian pula menyoal. Tangannya sedang berusaha mengeluakan
seketul jeruk kedondong dari plastik di tangannya. “Kalau ada masalah, kasi
tahulah sama kami, kita kan sudah macam anak-beranak.”
Jika orang lain yang sedang susah hati kerana masalah
besar di soal sebegitu, apatah lagi jika disoal dengan nada yang penuh
prihatin, mungkin akan berasa lapang hati mendengarkannya. Namun berbeza pula
situasinya dengan Hapipie. Baginya, ianya cuma seperti menumpahkan garam pada
luka yang masih berdarah. Hapipie semakin resah. Dia masih tidak dapat
memutuskan samada harus berkongsi masalah ini ataupun menyimpannya sahaja.
Ketidakpastian itu membuatkan dia mendesis dan menghela nafas kasar.
“Adik-beradiklah, bukan anak-beranak! Apalah kau ini,”
Shah membetulkan ayat Julian tadi.
“Aiya, salah
meh? Sorry… Sorry,” selamba Julian yang berbangsa Tionghua itu menjawab.
Biasalah Julian, lidahnya masih lagi tunggang-langgang hendak bertutur dalam
bahasa melayu. Shah menggeleng perlahan dan memandang Hapipie dengan dahi
berkerut seribu.
“Kau ni kenapa kawan?” dia menyoal kali ini dengan lebih
serius. Mereka bertiga berkawan sejak dari sekolah menengah lagi sehinggalah
mereka berkerja sebagai porter di
Heritage Hotel bersama-sama. Jadi, dia kenal sangat dengan Hapipie yang
selalunya kelihatan tenang dan suka ketawa lepas walaupun sesuatu itu tidaklah
selucu mana pun. Pendek kata Hapipie seorang yang santai. Berbeza pula dengan
Hapipie yang berada di hadapannya kini. Seperti sedang terseksa dalam diam
kerana menyimpan satu masalah besar. Kali terakhir dia dan Julian berjumpa dengan Hapipie adalah pagi kelmarin,
sewaktu mereka bertukar shift kerja. Ketika itu Hapipie kelihatan seperti biasa
sahaja, malah Hapipie sibuk bercerita rancangannya hendak tidur sepanjang hari
di rumah kerana kelmarin adalah off daynya.
Tetapi hari ini, kawannya itu sangat berbeza.
Hapipie memandangnya tetapi tidak menjawab. Dia cuma
mendengus perlahan sebelum menghayun langkah dari situ. Shah menyiku lengan Julian
yang masih sibuk dengan jeruk kedondongnya, lalu mereka berdua berlari anak
cuba menyaingi langkah Hapipie.
“Lambat sudah kita ni geng, nanti kena pula kita dengan Miss
Theron,” kata Hapipie merujuk kepada Hotel Manager di tempat mereka berkerja.
Shah cuma mencebik mendengarnya.
“Ala, tenang saja kawan. Aku sudah pesan dengan si Adi,
kalau kita lambat, aku minta tolong dia punchkan
ID card kita dulu,” katanya dengan
senyuman nakal.
“Kau ni memang selalu buat begitu kan? Suka-suka hati kau
saja. Kalau Miss Theron dapat tahu, memang tinggal separuhlah gaji kau hujung
bulan nanti,” getus Hapipie.
“Aiya…. gaji yang full
pun kita sudah cukup-cukup makan saja. Kalau gaji tinggal separuh saja, memang
tidak makan langsung ooo,” Julian menyampuk sambil mulut sibuk meratah jeruk kedondong yang akhirnya Berjaya
dikeluarkan dari plastik. Shah ketawa terkikih mendengarkannya.
Kemudian dia menyiku
lengan Hapipie seraya berkata, “Bah,
petang nanti jadi kita main futsal? Sepatutnya semalam bah tu aku mahu ajak kau, tapi mentang-mentanglah kau off day kan, teruslah kau tidak mahu
sambut call aku ya?”
“Mungkin dia tidur satu hari semalam tu… kalau jadi main
futsal, aku mau pinjam jersi Barca abang aku lah,” sekali lagi Julian
menyampuk. Hapipie tidak terus menjawab. Keningnya berkerut-kerut bagai mencari
jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada kawan-kawannya itu. Kemudian dia
menggeleng-geleng perlahan bersama satu keluhan.
“Sorry…aku tak boleh
join lah. Aku… aku ada hal,” jawabnya.
“Hal apa?”
“Anu bah…
Adalah hal sikit.”
“Iyalah, tapi hal apa juga tu? Mau juga kau berahsia
dengan kami ni.”
“Bagitau bah…”
“Aku… Aku… Err… Aku ada… Mesti tolong… Tolong… Hah! aku
kena buat assignment!” gugup Hapipie menjawab. Shah dan Julian berpandangan
sebelum ketawa terbahak-bahak.
“Kau tidak cukup tidurkah kelmarin ni, Pie?”
“Agak-agaklah Pie…Assignment? Bila masa pula kau bergelar
mahasiswa ni? Kau berangan lagi bah
ni kan? Adui…” kata Shah.
“Kita kena sedar diri Pie. Keputusan SPM kita dulu
cukup-cukup makan saja kan? Manalah boleh masuk U,”Julian menyampuk.
“Itulah bah tu,
dulu time sekolah belajar pun malas-malas, apa boleh buatlah kan, sabar
sajalah.”
“Jangan kau bikin
aku sedih bah Pie, terkenang-kenang
aku cita-cita kita mau belajar di universiti yang inda kesampaian tu.”
Hapipie cuma mendiamkan diri. Tiada pula tanda-tanda dia
mahu membidas kata-kata dua rakannya itu. Dia menilik jam tangannya sebelum
lekas-lekas masuk melalui Staff Entrance
Hotel Heritage. Tawa Shah terhenti. Berkerut dahinya memandang kelibat
Hapipie yang sudah hilang di balik pintu.
“Julian.”
“Ha.”
“Inda pelikkah
kau tengok gaya si Pie tu?”
“Sikitlah. Aku rasa… Mungkin kredit handphonenya habis.”
“Cit! Mana ada kaitan! Budak tu bukannya ada girlfriend,
mana pernah dia risau hanphonenya ada
kreditkah tidak. Biasanya kita ni yang jadi mangsa request RM1 nya kalau dia tiada kredit. Cuba kau tengok, macam ada bah yang disembunyikannya dari kita.”
“Sembunyi apa ya? Kau tahu kah?”
“Kau ni pun, kalaulah aku tahukan, kau rasa mahu kah aku
menanya kau?”
Julian terkebil-kebil,
cuba menghadam soalan Shah itu. Shah akhirnya cuma menggeleng-gelengkan kepala,
rasa menyesal pula bertanya pada Julian yang kadang-kadang boleh menjadi bodoh
alang. Diam-diam dia membuat nota di dalam kepalanya untuk memerhatikan Hapipie
dengan lebih lanjut.
*
Terkial-kial Shah membimbit dua bagasi pelancong dari
Korea yang baru check-in tadi.
Sepatutnya dia menggunakan troli sahaja, memudahkannya memunggah bagasi-bagasi
itu ke tingkat lima. Tetapi troli itu sudah digunakan terlebih dahulu oleh
Hapipie dan Julian untuk mengangkut semua bagasi dari kumpulan pelancong
Australia yang di tempatkan di tingkat dua. Memikirkan dua rakannya itu perlu
mengangkut lebih 30 bagasi bersaiz besar, Shah beralah sahaja. Bukannya dia harus
menaiki tangga dengan dua bagasi ini, kan? Boleh naik lif pun, jadi bertolak
ansur lebih baik.
“Shah,” kedengaran Irdam, staf maintenance yang sedang memeriksa suis loceng di tingkat lima
menegur Shah sebaik dia melangkah keluar dari perut lif.
“Eh, kau bah ni
Dam. Apa kau buat di sini ni? Curi tulangkah?” seloroh Shah. Irdam cuma
tersengih sambil menulis sesuatu di clipboard
yang dipegangnya.
“Pandailah kau menuduh, aku buat check-up macam biasalah, nanti supervisor aku mengamuk pula. Sikit
juga beg kau bawa itu. Tadi aku nampak dorang si Hapipie dengan si Julian bawa
banyak beg. Mana adil begitu Dam…”
“Alaa… Diorang dapat pakai troli bah, kira adillah tu. Aku guna kudrat dua tangan aku saja ni, hehe.”
“Itulah bah kan,
patutnya kamu Team Porter ni ada satu lagi troli tambahan lah untuk back up. Cubalah kau bayangkan kalau time banyak tamu datang hotel kita ni?
Huru haranya, kamu juga yang tanggung tu.”
“Entahlah Bos Besar kita tu, aku tengok memang bilik
selalu saja fullhouse, ramai pelancong datang, tapi gaji tidak pula naik. Kalau
minta tambah troli banyaklah alasan yang dorang bagi. Kedekut betul. Kalau
lama-lama beginikan, aku ambiklah troli di Servay Supermarket tu , bawa ke
sini, jadi aku angkat bagasi guna troli supermarket
sajalah. Haha,” Shah ketawa. Irdam tersengih menggeleng kepala. Ringan
tangannya membantu mengangkatkan satu bagasi dari tangan Shah. Shah mendahului
jalan berdiri di hadapan pintu bilik 511. Pintu diketuk sopan.
“Cerita-cerita ni kan, semalam aku jumpa si Hapipie bawa
motor. Tengah-tengah malam pula tu, macam bingung-bingung ni… Entah apa dia
cari.”
Shah berkerut dahi mendengar ayat Irdam itu namun tidak
sempat memberi respon apabila pintu bilik 511 terbuka dan terpacul kepala
pelancong lelaki Korea persis artis TOP Big Bang.
“Your luggage sir,”
kata Shah penuh dengan etika seorang hotelier
sambil meletakkan dua bagasi tadi di ambang pintu.
“Thank you, here…”
pelancong Korea itu menghulurkan satu not duit merah kepada Shah, malah turut
di berikannya kepada Irdam yang berdiri di sebelah Shah. Irdam, tersengih tidak
menyangka mendapat durian runtuh. Dia tertunduk-tunduk mengucapkan terima kasih
dengan teruja.
“Aigoooo… Kamsamida!
Kamsamida! Annyeong heseoyo!!”
Shah cepat-cepat meminta diri lalu memaut lengan Irdam
berlalu dari situ apabila pelancong itu sudah menahan ketawa melihat gelagat
Irdam.
“Shah, pelancong Korea itu inda tahukah aku ni bukan porter? Dia bagi aku tips juga ni!”
“Kau ni pun, macamlah inda
pernah dapat tips dari guest, sampai
siap cakap Korea lagi.”
“Eh, aku memang kepingin mau cakap Korea bah Shah. Ui... Untung aku ya, sudahlah
dapat tips, boleh cakap Korea sama orang Korea! Cubalah kan awek Korea kah tadi
kan, yang lawa macam SNSD tu, adui… Bangganya aku… Bolehkah tu ya kalau aku mau
bergambar sama dorang? Ada juga buktikan.. kau rasa betulkah tu ya sebutan aku
tadi tu?” Shah tergeleng-geleng, hairan juga kenapa Irdam teruja sangat bila
mengucapkan terima kasih dalam bahasa Korea. Dia mengesyaki Irdam adalah
peminat drama-drama korea secara senyap-senyap. Yalah, tengok dari gaya Irdam
pun lelaki itu boleh tahan macho juga. Shah menyiku perlahan lengan Irdam yang
masih tersenyum itu.
“Tadi kau cakap…kau nampak si Hapipie kan?” dia menyoal.
“Kau nampak dia di mana tu?”
“Di area Fajar juga. Sempat juga aku panggil dia, tapi sebaik
saja dia nampak aku terus dia pecut. Nda
tau lah kenapa.”
“Aik?” Shah berpeluk tubuh sambil berkerut-kerut dahi.
Hapipie tunggang motor? Ianya bagaikan mustahil. Kenapa? Sebab Hapipie yang
dikenalnya memang fobia kalau menunggang motor. Semuanya kerana salah Julian
sewaktu mereka berada dalam tingkatan 5 dahulu. Abang Julian baru membeli motor
ketika itu. Lalu, terujalah tiga sahabat itu mahu cuba menunggangnya. Mereka
setuju untuk bergilir-gilir. Shah yang dahulu menunggang motor, namun belum bermasalah
lagi. Kemudian tiba giliran Julian, juga belum ada apa-apa masalah yang terjadi,
malah Julian siap menunjukkan skil merempit motor itu dengan gear lima. Bila
tiba giliran Hapipie, Julian terlupa untuk free
gear semula gear motor selepas merempit laju. Sebaik sahaja Hapipie duduk
di atas motor, dia tidak sengaja memulas minyak. Ia satu tragedi buat
Hapipie hari itu apabila dia terbang melayang beberapa meter ke udara sebelum
mendarat di parit selepas motor itu meluncur
melanggar pembahagi jalan. Dan sejak itu, Hapipie menjadi fobia. Namun, dia
hanya akan menaiki motor sebagai pembonceng sahaja.
Tetapi maklumat yang diberitahu Irdam tadi menimbulkan
tanda tanya di hati Shah. Malah menurut Irdam, Hapipie siap memecut laju sebaik
sahaja dipanggil olehnya? Kemudian menurut Irdam juga, waktu itu adalah tengah
malam? Apa yang sebenarnya terjadi sehinggakan Hapipie sanggup menunggang motor
bersendirian di tengah malam? Dan motor siapa pula yang dia tunggang ? Sahabatnya itu bukannya ada sebiji motor pun. Setahu
Shah, Hapipie adalah lelaki ‘anak dara’. Lelaki yang lebih suka duduk di rumah
jika tiada apa-apa keperluan untuk keluar. Musykil, Shah berusaha menepis
pelbagai tanggapan negatif yang mengasak di kepalanya kini.
*
“Semalam, time off
day kau dekat rumah saja kah?” Shah menyoal. Dia bersandar di pintu masuk
utama Heritage Hotel. Manakala Hapipie yang turut bersandar bersamanaya
kelihatan gelisah. Sekejap-sekejap dia membelek jam tangannya. Tidak puas
dengan itu matanya mengerling jam dinding pula. Julian pada ketika itu sedang
makan tengahari di pantri. Sudah menjadi kebiasaan untuk mereka bergilir-gilir apabila
tiba masa berehat.
“Atau kau ada ke mana-mana? Waktu tengah malam?” Shah
menyoal lagi, kali ini dia berhati-hati.
“Ha? Apa ya?” Hapipie menyoal kembali, jelas dia tidak
mendengar soalan Shah tadi. Dia memandang Shah dengan mimik kebingungan.
“Aku tanya kau ni, kau ke mana semalam?”
“Semalam?” Hapipie menyoal semula, namun sebenarnya dia
tidak menumpukan sangat perhatian kepada Shah. Matanya berulang kali melihat jam
di tangannya. Shah sudah hampir hilang sabar. Kalau diikutkan hatinya, mahu
sahaja dia mengikat Hapipie di kerusi, suluhkan lampu tepat di hadapan muka
Hapipie, dan mula menyoal siasat sahabatnya itu. Dia bimbang sebenarnya dengan
perubahan sikap Hapipie yang mendadak ini disebabkan oleh Hapipie terlibat
dalam aktiviti tidak sihat, ataupun bergaul dengan budak-budak jahat. Sekarang
ini sudah banyak cerita remaja-remaja yang terjerumus ke dalam kumpulan
samseng, jual dadah, mencuri, mahupun berparti liar. Semuanya kerana pengaruh
dari rakan sebaya. Hapipie yang biasanya
sentiasa kelihatan kemas, kini
nampak selekeh berpakaian uniform porternya.
Tambahan lagi, dia tidak pakai nametag.
Walaupun hakikatnya memang dia dan Julianlah rakan baik Hapipie, tetapi mungkin
saja di luar pengetahuan mereka berdua,
Hapipie juga mempunyai kawan lain. Shah bimbang bukan sahaja kerana Hapipie itu
sahabatnya dan Julian, tetapi apabila mengenangkan Mak Jejah, ibu Hapipie yang
turut bergelar ibu tunggal kepada lima orang anak. Dan Hapipie sebagai anak
sulung lelaki dan memiliki empat adik perempuan dibawahnya membuatkan hanya Hapipie
sahaja menjadi harapan Mak Jejah yang sudah tua. Tentu kecewa hati ibu tua itu
jikalau Hapipie membuat perangai yang elok.
“Iya, semalam…” Shah berusaha melawan rasanya.
“Semalam? Semalam… Semalam aku tengok animasi sahaja
dekat rumah. Kan aku cuti semalam.”
“Animasi? Animasi apa konon?”
“Err… Animasi… Animasi… Naturo!”
Shah tahu sangat Hapipie sedang berbohong kerana Hapipie akan
tunjuk reaksi muntah hijau jika Shah dan Julian mengajaknya menonton animasi
terbaru dari Jepun. Tengok hendak sebut animasi popular Naruto pula boleh
salah. Katanya dulu, dia sukakan produk tempatan. Jadi, biar sepopular mana pun
produk luar negeri, dia akan hanya memandang sebelah mata.
“Iya kah? Irdam bagitahu aku yang dia nampak kau bawa
motor lalu area Fajar tengah malam semalam, kau buat apa di situ?” Shah terus
mengutarakan soalan yang sejak dari tadi terbuku dalam hatinya. Hapipie yang
sejak dari tadi gelisah kini tercengang-cengang mendengar soalan itu, bagaikan
dia tertangkap melakukan sesuatu yang salah. Terkebil-kebil dia seketika sambil
mulut bergerak-gerak cuba menjawab soalan Shah itu. Berterus-terang atau
reka-reka alasan?
“Aku… Aku cari kalau-kalau masih ada farmasi yang masih
buka…” dia memberitahu akhirnya. Kening Shah berkerut.
“Farmasi? Kau sakitkah Pie? Atau Mak Jejah yang sakit? Atau
adik-adikmu kah?” laju sahaja Shah menyoal dengan nada bimbang. Hapipie
menggigit bibir. Mendengarkan suara kebimbangan Shah itu membuatkan dia jadi
tidak keruan. Rasa sukar jika terus berahsia dengan Shah dan Julian. Hampir
sahaja dia membuka mulut hendak berterus terang apabila matanya melihat sebuah
kereta Bently hitam yang berhenti tepat di hadapan Hotel Heritage. Matanya
terbeliak sebaik melihat pemandu kereta itu melangkah keluar dan menuju ke
pintu masuk hotel.
“Aku pigi tandas dulu!”
Tanpa
mukadimah selanjutnya, Hapipie dengan tergesa-gesa berlari dari situ menuju ke
tandas di bahagian belakang pejabat pentadbiran. Shah terkejut dengan tindakan
Hapipie itu, tetapi dia tidak sempat memanggil kerana pemandu Bently tadi sudah
berdiri di luar pintu hotel. Menjalan kan tugas sebagai porter a.k.a bellboy,
Shah membuka pintu sambil menyambut dengan ‘Malaysian Greeting’.
Pemandu Bently itu seorang lelaki berbadan sasa dan
berkepala botak. Memakai sut hitam tanpa tali leher dan berkaca mata hitam. Penampilan
dia bagaikan seorang mafia. Terdapat dua lagi lelaki berbadan sasa yang
berpenampilan sama mengekori di belakangnya. Mereka melangkah masuk ke lobi
hotel sambil memerhatikan sekeliling perlahan-lahan. Shah hanya berdiam diri melihat
gelagat mereka. Tiga orang tetamu ini hendak daftar masuk ataupun sekadar
menumpang kedinginan air-cond di sini? Peliklah, sudahlah itu penampilan mereka
seperti bodyguard. Setelah beberapa kali meliarkan pandangan ke sekiling lobi, mata
lelaki botak tadi memandang ke arah Shah. Ketika dua orang pengiringnya tadi
melangkah ke meja reception, lelaki berkepala botak itu pula melangkah ke arah
Shah.
“Siapa nama kamu?” soal lelaki itu dengan suara garau.
“Err… Shah. Shahputra.” teragak-agak Shah menjawabnya.
Lelaki botak itu diam seketika sebelum menyoal lagi. “Sudah berapa lama kerja
di hotel ini?”
Shah tertanya-tanya adakah lelaki ini ingin berkenalan
dengannya siap bertanyakan soalan itu pula. Namun dia menjawab juga.
“Lama juga tuan… Lebih kurang tiga tahun,”
“Jadi kamu memang kenallah semua porter yang berkerja di
hotel ini sejak tiga tahun yang lalu?” Shah mengangguk. Dari cara pertuturan
lelaki itu, Shah dapat mengagak lelaki ini bukan berasal dari Sabah. Lelaki
botak itu kelihatan menarik keluar sesuatu dari poket sutnya.
“Kamu kenal dengan orang ini?” soalnya sambil menunjukkan
nametag yang di pegangnya
PORTER
HAPIPIE YUSUF
|
Shah
lantas tersentak melihat nametag itu,
sambil hatinya mula tertanya-tanya bagaimana nametag kepunyaan Hapipie itu boleh berada pada lelaki botak ala-ala mafia itu. Kepalanya ligat mencari jawapan sesuai.
“Err…
kenapa ya dengan orang ini, Tuan?” soal Shah.
“Jadi
kamu kenal dengan orang ini? Dia berkerja di hotel ini?” soalan Shah tidak dijawab,
lelaki botak itu menyoal pula.
“Tiada
staf bernama Hapipie di hotel ini, tuan. Di mana tuan jumpa nametag ini?”
“Tiada
staf bernama Hapipie di sini?” masih juga
tidak menjawab soalan Shah
“Ya…err,
mungkin porter di hotel lain, Tuan.
Memang ada banyak hotel di Tawau ni, Tuan. Tuan boleh cari orang ini di situ
kah.”
“Hapipie?
Ya, ada. Baru sahaja saya lihat dia di tandas lobi,”
Serentak
Shah dan lelaki botak itu berpaling memandang Julian yang sedang menunjuk ke
arah tandas di bahagian belakang kepada dua orang penggiring lelaki botak tadi.
Shah tergamam mengetap bibir memandang Julian yang tidak tahu apa-apa. Lelaki
botak itu membuka kaca mata hitamnya dan memandang tajam pada Shah.
“Err…
Err… Mungkin itu staf bernama Hapipie yang baru di ambil berkerja hari ini,”
katanya menelan liur melihat lelaki botak itu mendengus. Bagaikan aksi di dalam
filem, tiga lelaki bersut hitam itu segera mengatur langkah ke tandas yang di tunjukkan
oleh Julian. Shah segera menampar lengan Julian.
”Yang
kau gatal mulut bagitau diorang di mana Hapipie itu kenapa?!!”
“Ha?
Tidak boleh kah? Kenapa?
“Tiga
orang yang cari Hapipie, kau nda
nampakkah dorang itu macam geng mafia? Kenapa kau nda cakap saja yang kau nda
kenal si Pie? Apa lagi masalah si Hapipie ni. Ya Tuhan… Matilah dia kalau di
tangkap oleh diorang tu!”
“Ha?
Yakah? Alaa… Aku tak tahu…”
Shah
terjengket-jengket mengintai ke arah
tandas lobi yang kecoh. Kemudian tiga lelaki tadi melangkah keluar dengan wajah
marah. Tidak pula kelihatan Hapipie bersama mereka. Lelaki botak tadi pantas
meluru ke arah Shah dan menarik kolar baju Shah.
“Kamu
memang kenal dengan budak ini kan?! Beritahu kami di mana dia?!! Dia sudah
ambil ‘sesuatu’ milik kami!!” lelaki botak itu dengan suara mengancam menyoal
Shah. Julian terlompat-lompat panik melihat Shah yang kurus itu hampir
tercekik.
“Sa..
Saya... Saya tidak tahu… Dia... Dia bukan… Bukan kawan kami…” suara Shah tergagap.
Kawasan lobi menjadi tegang apabila tiga lelaki bersut itu bersiap siaga mahu
menyerang Shah dan Julian. Mujur Pak Salim, security
guard yang bertugas hari itu datang mententeramkan keadaan.
“Encik,
tolong jangan buat hal di sini. Jika tidak, saya akan ambil tindakan!” kata Pak
Salim sambil mengenggam erat kayu cotanya. Shah menelan liur gerun. Dia tahu
tiga lelaki itu tidak berasa takut pun dengan amaran Pak Salim yang sudahlah
berumur 69 tahun yang bertubuh kurus kering. Ketiga-tiga mereka memandang tajam
pada Pak Salim yang kelihatan tidak gentar berdepan dengan lawan yang lebih
muda dan sasa.
“Jika
encik tidak lepaskan dia, pihak hotel akan hubungi polis,” kata Pak Salim lagi
dengan berani. Barulah lelaki botak itu melepas cengkamannya pada kolar baju
Shah. Julian yang sudah berhenti melompat-lompat segera menuju ke arah Shah
yang terduduk di lantai cuba menarik nafas dengan betul. Ketiga-tiga lelaki
bersut hitam itu saling berpandangan, bagaikan mencapai persetujuan untuk tidak
membiarkan hal ini sampai ke pengetahuan pihak polis. Sejurus kemudian mereka
bertiga berlalu keluar menuju ke Bently mereka. Pak Salim pula kelihatan berbincang
sesuatu dengan receptionist, mungkin
untuk menenangkan keadaan genting tadi sebelum melangkah kembali ke arah Shah
dan Julian.
“Shah!
Shah kau okay kah?” Julian membantu sahabatnya itu berdiri. Shah mengerang
kecil sambil mengurut-urut leher.
“Okay
lah…syukur dia inda cekik kuat-kuat.
Kalau tak, patahlah leher kurus aku.”
“Shah,
pakcik mau buat laporan pasal hal ini di logbook, nanti kau pergi security post sana ya,” kata Pak Salim sambil
menepuk-nepuk bahu Shah.
“Baik
Pak Salim. Hebatlah Pak Salim tadi, inda
nampak takut pun sama tiga orang badan besar tadi,” sempat lagi Shah memuji.
“Sebagai
pak guard, biarpun takut sebenarnya,
kita mesti berpura-pura tidak takut. Barulah lawan ada sikit gentar sama kita,”
selamba Pak Salim menjawab. Shah dan Julian angguk mengiyakan sahaja. Shah
kemudiannya bagaikan teringat sesuatu.
“Oh
ya, Pak Salim, ada nampak kah si Hapipie di CCTV tadi?”
“Hapipie?
Ada tadi dia keluar sudah dari bangunan hotel pakcik tengok. Kenapa dia itu?
Macam takut saja?”
Shah
diam tidak bersuara. Dia dan Julian saling berpandangan.
“Hapipie
dalam bahaya.”
*
Daun
pintu dikuak perlahan. Dia menjengukkan kepala sedikit di muka pintu memerhati
kawasan sekeliling rumah, cuba memastikan tiada sesiapa yang tidak dikehendaki
di situ. Setelah berpuas hati, dia melangkah keluar sambil menggalas begnya
yang kembung. Pintu rumah di kunci dan topi keledar yang memang di letakkan di
tepi pintu dicapai. Dia mesti selesaikan hal itu secepat mungkin kerana keadaan
nampaknya semakin genting malah semakin bahaya. Mujur ibu dan adik-adiknya
sudah pulang ke kampung pagi tadi. Mereka akan selamat di sana. Buat masa ini
dia ada ‘tanggungjawab’.
Dia
melangkah ke arah motor hitam yang dipinjamnya dari sepupunya, Dion. Sejak sepupunya membeli kereta baru, dia jarang menggunakan motor lagi. Mudah sahaja
dia dapat kebenaran meminjam motor Dion. Di pandang seketika motor itu.
Fobianya terhadap motor masih ada sebenarnya. Namun keadaan membuatkan dia terpaksa
melawan fobia tersebut. Sebelum memakai topi keledar, sempat lagi dia menadah
kedua tapak tangan, membaca doa menaiki kenderaan, memohon perlindunganNya.
Namun, belum pun sempat dia menyarung topi keledar itu, dup! Satu hentakan kuat
terasa di kepalanya. Dunia terasa pusing. Mungkin juga dia patut membaca doa
selamat tadi. Lalu dia rebah ke tanah, pengsan.
*
“Lain
di suruh, lain kau buat! Yang kau hentak kepala dia kuat-kuat tu kenapa?”
“Kau
juga yang cakap kan, kita serang hendap dia, lepas tu baru kita soal siasat
dia.”
“Serang
hendap maksud aku tu, kita tangkap dia dari belakang, jangan sampai dia lari. Bukannya
serang pukul. Apalah kau ini, sampai pengsan bah si kawan kau buat begitu.”
“Yalah…
Sorry lah, kau tahukan aku masa kecil
pernah demam panas, jadi lembab sikit otak aku ni mahu faham cakap orang.”
“Diamlah!!
Dia sudah sedar itu.”
Perlahan-lahan
Hapipie membuka kelopak matanya. Dilihat olehnya wajah Shah dan Julian sedang
berdiri di hadapannya. Kepalanya masih berdenyut-denyut. Dia cuba berdiri,
namun tidak berjaya. Nampaknya Shah dan Julian sudah mengikatnya di kerusi itu.
“Aku
kat mana ni...” soal Hapipie perlahan. Shah dan Julian berpandangan dan
mengangguk serentak.
“Pie,
aku mahu kau berterus terang dengan kami petang ini juga. Kau ada mencuri
barang orang lain kah?” Hapipie tercengang-cengan mendengarkan soalan Shah itu.
“Tidak…”
“Jadi…
Kau ada terlibat dalam mana-mana sindiket syabu kah? Kau sudah pandai ambil itu
barang kah? Mengaku Pie…”
“Astagfirullah…
Tidak…”
“Habis
itu, kenapa sampai ada tiga mafia cari kau di hotel tadi? Dorang cakap kau sudah ambil barang dorang. Nampak samseng betul dorang itu? Siapa juga dorang tu? Dorang itu pengedar dadah kah Pie? Atau kau sudah pinjam duit Along
ni, Pie? Ya ampun Pie… Jangan kau begitu bah…
Kau inda kasihan sama ibu mu kah?”
Shah terus-terusan berceramah di hadapan Hapipie yang masih berkerut dahi
kesakitan.
“Aku
tidak buat kerja begitu, kawan. Sumpah!”
“Habis
tu apa? Kami tengok kau ni macam simpan rahsia dari kami bah. Macam kau inda anggap
kami kawan kau tau kah? ”
Hapipie
terdiam. Terasa bersalah membuatkan sahabat-sahabatnya sampai berfikir
demikian. Mungkin inilah masanya dia berterus terang sahaja.
“Okaylah,
aku kasih tahulah kenapa aku berahsia.”
“Bah... Cakaplah… Buruk baik kau, kami
sebagai sahabat tidak akan buang kau,” ayat Shah itu membuatkan Hapipie tertawa
kecil. Dia menarik nafas panjang dan memandang Shah dan Julian.
“Okay,
lepaskanlah aku dulu, baru aku bawa kamu ke satu tempat.”
*
Shah
dan Julian bagai tidak percaya dengan apa yang dilihat mereka. Mereka berdiri terkaku
di tempat masing-masing dengan mulut separuh terlopong. Sebentar tadi Hapipie
telah membawa mereka ke sini, ke pondok kecil yang terletak di tepi padang
bola. Pondok itu jika dilihat sekali lalu sahaja memang tidak jelas kerana
terlindung di balik batang pokok ketapang yang rendang . Mereka berdua merasa
bagaikan sedang membintangi sebuah filem sains-fiksyen, di mana seorang sahabat
mereka rupa-rupanya menyembunyikan seekor makhluk asing yang berkulit kuning
langsat. Makhluk itu mempunyai fizikal yang hampir menyerupai manusia, cuma ia
memiliki mata bujur yang besar yang sedang terpejam rapat, telinga yang runcing
di hujung, tidak mempunyai bibir selain garisan mulut sahaja, mempunyai dua
sesunggut bagaikan antenna di bahagian dahi dan ketinggiannya cuma satu meter.
Mereka
berdua cuma mendiamkan diri mendengar cerita Hapipie bagaimana dia menemui
makhluk asing itu terdampar cedera di tepi jalan berdekatan jalan airport lama, bagaimana dia dikejar oleh
lelaki bertiga yang datang ke hotel tadi sewaktu cuba menyelamatkan makhluk
itu, dan bagaimana dia terpaksa menyembunyikan makhluk itu di pondok tersorok
ini.
“Aku
mahu minta maaflah sama kau Pie. Macam-macam prasangka buruk sudah ada dalam
fikiran aku pasal kau, rupa-rupanya kau terpaksa menghadapi masalah tamu asing
ini,” kata Shah mengatur kata. Hapipie cuma tersenyum dan menepuk-nepuk bahu
Shah, isyarat yang dia tidak ambil hati. Julian yang masih diam mendekati
makhluk yang kelihatannya sedang lelap itu perlahan-lahan. Di perhatikannya
secara lebih dekat sebelum dia mengelengkan kepala.
“Kenapa
lagi kau ni?”
“Macam
tidak percaya woo… seingat aku kan,
alien suka mendarat dekat bahagian-bahagian Amerika sana. Rupanya ada juga alien
mau tersesat di Tawau ni ya,” kata Julian dengan wajah kagumnya.
“Itulah
kau, percaya betul bah sama
filem-filem Hollywood itu, senang betul kau ni kena brainwash,” gerutu Shah, namun Julian nampaknya tidak ambil
peduli, dia kini sedangcuba mengambil gambar makhluk itu dengan kamera telefon
bimbitnya. Hapipie menegah lembut.
“Tiga
orang lelaki yang bersut hitam tadi aku rasa sedang mencari alien ini, tidak
tahulah kenapa…” luah Hapipie. Shah mengigit bibir berfikir seketika.
“Siapa
sebenarnya tiga orang tu ya? Macam mafia pun ada, macam bodyguard pun ada, macam ejen rahsia pun ada. Tapi kan Pie, bukan
si alien ni saja yang dalam bahaya. Kau pun dalam bahaya juga tahu. Itulah kami
cepet-cepat tangkap kau sebelum dorang tahu di mana kau tinggal,” katanya.
Hapipie terdiam sebentar. Dia merenung makhluk yang masih belum sedar itu. Kepalanya
terangguk-angguk sedikit sebelum dia memandang Shah.
“Kita
mesti tolong alien ini balik ke tempat asalnya semula,” ujarnya dengan nekad.
“Bagaimana?”
sampuk Julian pula. Hapipie tidak menjawab apabila makhluk asing itu
bergerak-gerak. Perlahan-lahan ia duduk dari baringnya sambil mata besarnya
terkebil-kebil memandang Shah dan Julian. Julian kelihatan kaget sedikit
sehinggakan dia terpeluk lengan Shah tanpa sedar.
“Please don’t eat us… Please don’t eat us…”
“Jangan
risau, ianya bukan merbahaya,” terang Hapipie. Makhluk asing itu memandang pula
ke arah Hapipie. Sesunggutnya bergerek-gerak menyentuh lengan Hapipie. Lelaki
itu cuma tersenyum seraya berkata.
“Mereka
berdua okay. Kawan baik saya…” berkerut dahi Shah melihat Hapipie berkata-kata
seolah makhluk asing itu memahaminya.
“Kau
faham kah apa dia cakap? Aku tidak dengar pun suaranya?”
Namun
persoalan itu bagaikan terjawab apabila Shah melihat perlakuan makhluk asing
itu yang menyentuh Hapipie dengan sesungutnya setiap kali ingin berkomunikasi.
Mungkin makhluk ini ada kuasa telepati melalui sentuhan. SubhanAllah, dia mesti membantu usaha Hapipie menyelamatkan makhluk
asing itu dari terus menjadi buruan. Teringat pesanan Ustaz Romzi bahawa
membantu sesame makhluk adalah amalam mulia.
“Pie,
kau tengok macam alien ni berkomunikasi menggunakan telepati bah. Cuba kau tanya dimana dia mendarat.
Tentu spaceshipnya ada di situ.
Bolehlah dia kembali ke tempat asalnya,” Shah mencadangkan. Hapipie menepuk
dahi tiba-tiba.
“Astagfirullah…
Kenapalah aku inda terfikir ya?
Huru-hara bah fikiran ku semalam
sebab alien ni masih lagi lemah sebab cedera kan… Tapi ada betulnya idea kau
tu,” lalu dengan suara yang terang dan jelas (supaya makhluk itu memahaminya),
Hapipie bertanyakan tentang hal itu. Buat seketika makhluk itu cuma
terkebil-kebil sebelum sesunggutnya menyentuh perlahan lengan Hapipie. Shah dan
Julian melihat Hapipie terangguk-angguk bagai memahami entah apa yang di
maksudkan oleh makhluk itu. Dengan senyuman Hapipie memandang kearah mereka.
“Katanya
dia di serang sewaktu kapalnya terbang melintasi kawasan berdekatan airport lama itu, mungkin oleh tiga
lelaki tadi. Kapalnya rosak teruk sewaktu terhempas, tapi dia sempat minta
bantuan dari kapal induknya. Sekarang dia mesti kembali ke tempat kapalnya
terhempas kerana di situ bantuan akan datang.”
“Di
mana kapalnya terhempas? Kau terjumpa dia berdekatan jalan airport lama kan? mungkin kapalnya juga ada berdekatan situ,”
“Bah, apa kita tunggu lagi? Jom kita
gerak sekarang, nanti tiga mafia tadi datang serang hendap kita pula,” selesai
sahaja Julian mencadangkan, kedengaran bunyi kenderaan berhenti di luar pondok.
Serentak mereka bertiga menjenguk dari balik pintu pondok dan terlihat oleh
mereka kereta Bently baru berhenti bersebelahan dengan motor sepupu Hapipie dan
motor abang Julian.
“Panjang
betul umur… Baru disebut-sebut. Mungkin dorang
ni memang ejen rahsia bah. Kau tengoklah,
tahu saja dorang di mana mau cari
kita.”
“Mulut
kau tu yang masin bah Julian, huh!”
“Eh,
jangan bising. Jom kita keluar senyap-senyap dari sini…” bisik Hapipie. Shah
dan Julian mengangguk. Bagai melakukan drama bisu, Hapipie mengangkat makhluk
asing itu, sementara Shah menggalas beg yang dibawa tadi dan Julian mengangkut
topi keledar mereka. Berjengket-jengket mereka melangkah keluar dari pintu yang
lagi satu.
“Bukan
ada jalan pintaskah dari padang ni terus sampai ke airport lama tu?” soal Shah dengan nada berbisik sambil memerhati
langit yang semakin gelap. Hapipie cuma mengangguk. Dia memandu arah sambil
mendukung makhluk asing itu cuba melalui semak agar tidak kelihatan oleh tiga
lelaki yang sudah keluar dari kereta Bently itu. Pada mulanya operasi melarikan
diri secara senyap-senyap itu hampir berjaya jikalau bukan secara tiba-tiba
telefon bimbit Julian tiba-tiba berdering, melagukan lagu Jay Chou.
“Bos,
mereka di balik semak itu!”
“Time genting juga handphone kau mau bunyi bah!”
marah Shah kerana kedudukan mereka diketahui.
“Kejar
mereka! Tangkap hidup-hidup makhluk asing itu!!” kedengaran lelaki botak
memberi arahan. Serentak lelaki bertiga itu menyeluk ke dalam jaket sut
masing-masing dan mengeluarkan sesuatu yang begitu mengejutkan Hapipie, Shah
dan Julian.
“Uii!
Dorang ada pistollah!”
“Lari!
Lari cepat!!!”
Terkocoh-kocoh
tiga sahabat itu cuba untuk lari sebaik sahaja melihat pistol di tangan tiga
lelaki bersut itu.
Bang!!
Kedengaran
bunyi das tembakan pertama membelah lewat petang itu. Hapipie mendukung erat
makhluk asing tadi sambil membuka langkah seribu ke arah jalan pintas menuju ke
tapak airport lama. Shah mengekori
dari belakang. Julian yang terkejut mendengar bunyi tembakan tadi menjadi panik
akibat ketakutan, lalu secara spontas melontar salah satu helmet yang dipegangnya
ke arah tiga lelaki bersut yang mengejar. Lontaran itu tepat kena pada muka
salah seorang dari mereka. Terbaring dan lelaki tersebut tidak sedarkan diri.
“Padan
muka… Dorang tidak tahu bahaya kalau
buat si Julian panik,” sempat lagi Shah bergumam.
Langit yang semakin gelap tidak menghalang dua lelaki
bersut hitam itu terus mengejar tiga sahabat dalam usaha menyelamat itu.
Beberapa kali tembakan di lepaskan ke arah mereka, mujur tersasar. Mungkin
penduduk kampung berdekatan terkejut mendengar
bunyi tembakan malam-malam begini. Julian cuba untuk melontar lagi
sebuah topi keledar seperti tadi, namun kali ini balingannya gagal apabila
lontaran itu tersasar.
“Woi, itu helmet pakcik aku!”
“Sorry… Mungkin
kalau aku panik baru boleh jadi sharpshooter.”
“Cepat!!!”
Mereka bertiga sudah masuk ke dalam kawasan tapak airport lama. Langit malam tanpa sinar
bulan itu menyulitkan penglihatan.
“Hoi, jangan lari! Kalau tidak aku tembak kamu bertiga!”
teriak si lelaki botak, mungkin geram kerana terpaksa berlari mengejar sahabat
bertiga itu.
“Eleh… macamlah dia nampak dalam gelap-gelap ini.”
“Diam dulu Julian, Pie, sekarang tanya alien itu tempat
kapalnya terhempas! Cepat!” Hapipie menurut lalu bertanyakan lokasi yang lebih
tepat lagi. Makhluk asing itu terkebil-kebil melekapkan sesunggutnya, menjawab
melalui telepati.
“Sini!”
Dalam kepekatan malam Shah dan Julian berlari mengekori
Hapipie. Sehinggalah mereka tiba di satu kawasan berumput. Hapipie mengangguk
pada Shah.
“Julian, minta dulu handphone
kau.”
“Ha? Handphone
aku mana ada kredit Shah.”
“Bagi sajalah! Aku bukan mahu buat call, mahu pinjam lampu suluhnya saja,” dengan berat hati Julian
menghulurkan telefon bimbit yang mempunyai fungsi lampu suluh itu. Shah segera
menyuluh ke kawasan berumput tadi. Terdapat kesan terbakar di rumput itu dan
tidak jauh dari situ terdapat bangkai kapal makhluk asing tadi yang sudah
hangus.
“Ya, di sinilah tempatnya,” kata Shah sambil memegang
telefon bimbit Julian tinggi-tinggi untuk menerangi kawasan setempat itu.
“Kata alien ini, bantuan akan tiba sebentar lagi,”
beritahu Hapipie pula.
“Kalau lelaki-lelaki tadi dapat tangkap kita duluan macam
mana?” Julian menyoal.
Bang!!!
Telefon bimbit Julian
yang dipegang Shah hancur berkecai, terkena bidikan lelaki botak tadi. Mujur
tangan Shah tidak apa-apa. Manakala Julian sudah terlopong dengan penuh
dramatik melihat telefon bimbit kesayangan menjadi mangsa tembakan. Keadaan
kembali gelap.
“Jangan sesiapa bergerak!”
Sejurus kemudian lelaki botak tadi dan rakannya
menyalakan lampu suluh mini yang entah muncul dari mana. Suasana kembali terang
dan tiga sahabat itu berdiri kaku di tempat masing-masing, jantung berdegup
kencang melihat dua muncung pistol di halakan pada mereka.
“Sekarang, serahkan makhluk asing itu kepada kami,”
dengan nada jelas dan tegas lelaki botak itu memberi arahan. Hapipie dan Shah
saling berpandangan, Julian masih menangisi ‘pemergian’ telefon bimbitnya.
Hapipie dan Shah saling membuat isyarat apa yang patut mereka lakukan sekarang.
Mereka bagaikan tiada jalan keluar lagi.
“Cepat! Jangan bertindak bodoh, serahkan makhluk asing
itu!”
“Kenapa korang
mahu sangat dengan alien ini hah? Dia bukan ada buat salah dengan kamu pun!”
Hapipie tiba-tiba membentak.
“Jangan banyak cakap budak. Kau tidak tahu apa-apa,”
dalam suara lelaki botak menjawab. Muncung pistol tidak lepas di halakan pada
Hapipie.
“Aku tahu, korang
yang serang kapal makhluk asing ini kan? Sebab itulah ia tercedera. Eh, korang
tidak malukah berlaku kejam sesama makhluk? Balasannya amat berat tahu?
Lebih-lebih pada makhluk yang tidak berdaya macam alien ini, korang sepatutnya
berkasih sayang sesama makhluk, barulah dunia ini akan aman damai. Perbuatan
serupa ini sangatlah kejam dan zalim, kamu sepatutnya malu… Malu… Malu…” penuh perasaan Hapipie
cuba memberi ceramah. Shah tahu niat Hapipie adalah untuk melengahkan masa
sementara menunggu bantuan makhluk asing itu tiba, namun dia sendiri terasa
hampir ketawa melihat cara Hapipie itu. Lelaki botak dan rakannya saling
berpandangan. Mungkin mengutuk Hapipie dalam hati.
“Budak, kalau kau mahu berceramah, kau cari orang lain.
Serahkan makhluk asing itu cepat! Sebelum aku tembak kau betul-betul!!” lelaki
botak tadi sudah mula mengertak. Hapipie menelan liur, namun segera dia
memberanikan diri.
“Tembaklah kalau kamu berani, kalau aku kena tembak,
makhluk asing ini pun akan kena juga. Bukankah kamu mesti bawa pulang makhluk
asing ini hidup-hidup? Hah… Mengamuklah bos kamu nanti…” nampaknya kata-kata
Hapipie itu memberi impak kepada dua lelaki bersut hitam itu. Kini, mereka
bagaikan teragak-agak. Hapipie dan Shah saling berbalas senyum dalam diam.
Sesekali Shah mendongak ke langit, kalau-kalau bantuan sudah tiba. Namun yang
menyapa pandangan hanyalah langit ditaburi bintang.
“Okay... Okay… Begini… Berapa duit kamu mahu? Kami boleh
bayar dan serahkan makhluk asing itu, okay?” lelaki botak nampaknya cuba
membuat perundingan.
“Kamu ini siapa sebenarnya? Beriya-iya hendakkan makhluk
ini? Kamu sindiket haram ya? Ataupun ejen rahsia? Kamu jangan buat hal di
tempat kami, kami lapor dengan polis, tahulah kamu nanti.”
Akhirnya, mungkin akibat bosan melayan karenah Hapipie,
lelaki botak memberi isyarat kepada rakannya, yang mana sepantas kilat berjaya
menarik Julian lalu menyilangkan tangan Julian kebelakang sambil mengacukan
muncung pistol di pelipis Julian.
“Julian!!!”
“Sudah! Kalau mahu kawan kamu selamat, cepat serahkan!
Aku sudah hilang sabar ini!!!” pekik lelaki botak itu
“Tolong aku kawan… Tolong aku kawan...” kedengaran suara
Julian yang menggigil ketakutan.
“Tenang Julian, bantuan akan sampai… Bantuan akan
sampai…”
“Jangan banyak cakap aku kata… Jangan berlengah! Bagi sini
makhluk asing itu!!!”
“Lepaskan kawan kami dulu, botak! Kalau tidak aku pula
yang tembak kepala botak kau itu! Aku pun sudah hilang sabar ini!!” nampaknya
Shah pula sudah dirasuki amarah melihatkan sahabat mereka menjadi tebusan. Dia
menghempaskan beg yang digalasnya tadi ke tanah sebelum mendengus marah
memandang dua lelaki bersut hitam itu.
“Eh, budak ni…”
“Bunuh saja dia bos, senang sikit kerja kita.”
Lelaki berkepala botak itu bagaikan menyetujui cadangan
rakannya, dia menghalakan muncung pistol ke arah Shah, bersedia menarik picu.
Dalam masa yang sama Shah yang di kuasai perasaan marah itu, meluru laju ke
arah si lelaki botak, mungkin bertujuan menerkamnya.
“Jangan Shah!!!”
“Mampus kau!!”
Bangg!!!
Senyap. Julian
yang memejam mata kerana tidak sanggup melihat sahabatnya di tembak, Perlahan-lahan
membuka mata. Hari ini penuh dengan perlbagai kejadian pelik bagi mereka.
Lelaki botak yang mengacukan pistol ke arah Shah bagaikan kaku di udara. Malah
bukan lelaki botak itu sahaja, rakannya yang mengunci tangannya turut sama kaku
tidak bergerak. Shah yang berada dalam aksi mahu menerkam juga sama.
“Apa dah jadi? Apa dah jadi?” soal Julian sambil
memandang Hapipie yang turut kebingungan melihat fenomena itu. Makhluk asing
yang sejak dari tadi senyap menjadi pemerhati, melekapkan sesunggutnya ke
lengan Hapipie, ingin memberitahu sesuatu. Hapipie terdiam lantas mendongak ke
langit malam.
“Mereka sudah sampai!!!”
Nun di atas mereka, beberapa batu di atas sana, kelihatan
sesuatu yang sukar di bayangkan. Ianya hampir menyerupai kapal angkasa yang
mereka biasa tontoni dalam filem-filem sains-fiksyen. Sangat besar dan
mempunyai lampu-lampu berkelip seperti yang selalu terdapat pada kapal terbang
yang berlepas pada waktu malam. Hapipie dan Julian terkesima melihatkan kapal
itu. Julian yang berusaha melepaskan dirinya dari terus menjadi tawanan si
lelaki botak tadi, turut sama memandang kapal angkasa itu. Makhluk asing tadi
berbunyi nyaring, seolah gembira melihat rakan spesisnya datang menyelamat.
“Woah... Woah…ini
memang inda logik, tapi jadi depan
mata aku,” Julian bergumam. Hapipie terangguk-angguk.
“Alien ini bagitahu, bangsanya yang membekukan Shah dan
dua penjahat itu buat seketika. Itu salah satu kebolehan bangsa mereka. Alhamdulillah, jika tidak, tentu kita
sudah kehilangan Shah,” ujar Hapipie memberitahu Julian. Kemudian dari tengah
kapal angkasa yang terapung itu, tersuluh satu cahaya dan seekor lagi makhluk
asing turun mendarat. Hapipie dan Julian sekali lagi terlopong. Makhluk asing
di dalam pangkuan Hapipie kedengaran berbunyi nyaring melihat rakan spesisnya.
Rakannya juga membuat bunyi yang sama. Mungkin itu cara mereka berkomunikasi.
Julian mendekati lelaki kepala botak yang kaku tidak bergerak, sibuk tangannya
mencari dompet lelaki itu. Di belek-beleknya dan terjumpa sekeping kad.
“Rupanya tiga lelaki ini adalah ejen satu pertubuhan
rahsia, aku macam pernah terbaca pasal pertubuhan ini di internet. Eh! bukankah
ini pertubuhan yang dikhabarkan sering menutup bukti pendaratan makhluk asing
ke bumi? Ooo... Patutlah mereka serang kapal makhluk asing ini. Uiii... Jahatnya
ini orang,” Julian menggeleng-geleng sambil melihat wajah lelaki botak yang
menyeringgai itu. Hapipie mendengus perlahan. Dia menurunkan makhluk asing itu
dari dukungannya. Di tatapnya wajah makhluk yang memang asing itu.
“Sekarang, pulanglah ke tempat asalmu. Aku memohon maaf
jika ada bangsa ku yang menyakiti bangsa kamu,” kata Hapipie. Makhluk itu kelihatan
seolah sayu sambil menyentuh Hapipie. Mungkin sedih kerana terpaksa berpisah
dengan Hapipie yang baik hati dan sudi melindunginya itu. Julian tidak
pasal-pasal tersedu-sedu melihat babak perpisahan itu. Rakan kepada makhluk asing tadi bergerak
perlahan ke arah Shah yang masih beku itu. Perlahan sesungutnya di sentuh pada
kaki Shah, dan sesaat kemudian Shah jatuh berdebuk di atas tanah sambil
menjerit-jerit.
“Rasakan penumbuk tanpa bayang aku ini!!!” kemudian Shah
tercengang-cengang di situ melihat sekeliling, malah terlopong besar pula
melihatkan kapal angkasa terapung di atas mereka. Dia memandang Julian untuk
meminta penjelasan, namun sahabatnya itu masih tersedu-sedu. Buat kali terakhir
makhluk asing itu melekapkan sesungutnya di lengan Hapipie. Lama. Mungkin
berpesan sesuatu. Hapipie Cuma mengangguk.
Kini tibalah waktu perpisahan. Bergandingan dua makhluk
asing itu berdiri di tengah suluhan lampu kapal tadi dan perlahan-lahan mereka
terapung naik ke kapal angkasa. Hapipie mengigit bibir menahan sebak, sementara
Julian sudah teresak-esak sambil melambai-lambai dan Shah terpaksa
menenangkannya. Sepantas kilat kapal angkasa itu meluncur laju membelah langit
malam, pulang ke galaksi mereka. Suasana kembali sunyi. Tiga sahabat itu masih
berdiri merenung langit.
“Sedih pula bah…”
getus Shah perlahan.
“Aku pun…sudahlah handphone
aku kena tembak…kuranglah gaji bulan depan mau beli handphone baru”
“Korang rasa… Kalau
aku tulis skrip pasal pengalaman kita ini, mahu tak Steven Speilberg ambil
jadikan filem?” Hapipie menyoal sambil senyum nipis. Shah dan Julian
memandangnya tanpa riak.
“Mungkin...”
“Jadi, apa kita mahu buat sama tiga penjahat ni? Mereka
memang tidak akan bergerak sampai bila-bilakah?” soal Julian. Hapipie
tersenyum.
“Alien tadi sempat berpesan, mereka akan kembali seperti
biasa dalam beberapa jam lagi. Dan alien itu ada buat sedikit pengubahsuaian
pada memori mereka. Mereka tidak akan ingat apa-apa tentang kejadiaan ini,”
jawabnya. Wajah Shah berseri-seri.
“Tidak ingat apa-apa? Langsung?”
“Ya… Jangan over
pulak…”
*
Esoknya Tawau gempar dengan penangkapan tiga lelaki yang
mencurigakan kerana berbaju kurung di tapak airport
lama, malah tiga lelaki itu berkeras mereka bukan sepatutnya berada di daerah
ini. Dan lebih menghairankan bagaimana mereka boleh berada di sini. Ianya turut
dimuatkan ke dalam akhbar tempatan. Di pintu Hotel Heritage, dua sahabat
terkekeh-kekeh sambil memegang surat khabar hari ini.
Sekian…