Jumaat, 17 Januari 2014

Sneak peek CINTA POLARIS

Azreen mengetap bibir kuat. Bahunya terenjut-enjut, terdengar esakan kecilnya. Sesekali tangan laju mengesat air mata yang mengalir di pipi. Barisan bangku batu di tepi padang itu biasanya akan dipenuhi pelajar. Sama ada yang tumpang berteduh ketika menunggu bas sekolah datang menjemput, tempat persinggahan sementara menunggu loceng masuk kelas berbunyi ataupun menjadi alternatif tempat menjamu selera selain dari kantin. Tetapi kini cuma Azreen seorang yang melabuhkan punggung di situ.

Dalam usaha untuk meredakan sedu sedan nya, sempat Azreen menghalakan pandangan ke arah pasukan bola sepak sekolah yang giat berlatih di tengah padang. Tidak sedikit pun rasa tergugah dengan tujahan sinar matahari yang membahang walaupun waktu sudah menunjukkan pukul empat petang. Pasti mereka berlatih bersungguh-sungguh demi kejohanan bola sepak antara sekolah yang akan datang. Suasana redup di sekitar kawasan bangku batu yang diduduki Azreen hasil payungan dedaun rimbun pokok ketapang yang berhampiran.

Azreen mengesat air matanya lagi. Dia tidak pernah di malukan sebegini. Baik, mungkin Cikgu Amnah pernah menegur tentang prestasi pelajarannya di hadapan rakan sekelas yang lain. Tetapi ianya berlainan kerana Azreen tahu niat Cikgu Amnah cumalah hendak menegur dan menasihatinya. Cikgu Amnah berniat supaya dia memperbaiki diri. Dan Azreen tahu bukan dia sahaja yang pernah menerima teguran sebegitu. Tetapi mengingat kejadian di bilik Kelab Redaksi tadi, Azreen mengagak Teelofa sengaja untuk memalukannya di hadapan semua orang, malah melemparkan tuduhan yang melulu terhadapnya.

“Tidak adil...bila aku lemah dalam pelajaran kerana tidak berusaha, semua mencemuh aku ini lembab lah, kurang bijak lah, pemalas lah...tetapi bila aku sudah berusaha bersungguh-sungguh, mereka pula tidak mempercayai hasil kerja keras aku, malah tuduh aku penipu, pencuri artikel! Ini memang tidak adil!” omel Azreen perlahan dalam sedu sedannya.

Kedengaran derap langkah dari arah belakangnya namun Azreen tidak menoleh. Kalau boleh dia tidak mahu bersemuka dengan Nita Rudani saat ini walaupun mungkin Nita Rudani cuma ingin menenangkannya. Pasti sahabatnya itu mengejarnya sebaik dia berlari keluar dari bilik kelab tadi. tetapi Azreen ingin bersendirian sekarang.

“Aku tidak apa-apa, Nita, jangan risau. Jadi kau tidak perlu katakan ‘bukan kah aku sudah beritahu awal-awal’ pada aku. Aku sudah tahu aku buat kesilapan sebab hendak sertai temuduga ini. Aku tahu sudah kebodohan aku. Kau tidak perlu katakannya pada aku kalau kau hendak duduk di sini,” kata Azreen, mengesat air mata yang mengalir akibat rasa sebak tiba-tiba.

“Baiklah, saya tidak akan kata begitu,” jawab seorang lelaki membuatkan Azreen pantas berpaling. Tergamam dia melihat Hakimie yang berdiri di situ bukannya Nita Rudani. Hakimie membetulkan letak duduk kaca matanya dan senyum nipis.

“Saya tidak akan kata begitu, jadi boleh saya duduk di sini?” soalnya sambil menunjuk pada sebuah bangku batu tidak jauh dari bangku Azreen. Azreen mengangguk tidak mahu memandang Hakimie, teringat-ingat dia kejadian memalukan tadi.

“Mustahil...”

“Apa yang mustahil?” soal Hakimie perlahan.

“Saya memang tidak sesuai menjadi wartawan. Memang mustahil bagi saya,” ujar Azreen perlahan. Hakimie tidak membalas lagi. Beberapa minit berlalu tanpa masing-masing bersuara. Mereka cuma memandang ke langit serentak melihat sebuah kapal terbang merentas nun di langit biru.

“Nampak kapal terbang itu?” soal Hakimie memecah kesunyian. Azreen angguk sambil terus memandang ke langit.

"Sebuah kapal terbang boleh mencapai berat beribu-ribu tan termasuklah komponen enjin dan bahagaian-bahagian badannya yang lain. Tetapi ianya boleh meluncur terbang di angkasa malah berupaya membawa beratus penumpang merentas benua,” Hakimie menerangkan.

“Kenapa sebuah kapal terbang boleh terbang di udara?” soal Hakimie  lagi. Azreen mengerutkan kening. Mengapa pula tiba-tiba bertanya kan soalan ini? Muncung mulut Azreen memikirkan adakah Hakimie sengaja menyoalnya dengan soalan yang di anggapnya susah itu. Tahulah aku tidak sepandai dia, tetapi tidak perlulah sampai menyeksa minda aku pula. Namun  dalam masa yang sama Azreen mengingat-ingat kembali tentang prinsip fizik yang di pelajari dalam kelas Sains.

“Awak tahu kenapa kapal terbang yang berat itu melawan grativi lalu terbang di udara?” Hakimie mengulang soalannya nya bersama senyuman trademarknya yang manis itu. Azreen sedikit ternganga sambil mata terkebil-kebil melihat kelibat kapal terbang di angkasa tadi. Segera dia teringat  kata-kata Cikgu Mumtaz di dalam kelas Sains tidak lama dulu.

“Err...sayap kapal terbang yang beraerofoil akan menghasilkan daya angkat ke atas sayap kepal terbang apabila berlaku pergerakan udara...err...bentuk badan kapal terbang juga mempunyai ciri aerofoil jadi ianya menghasilkan daya angk...”

“Ianya kerana ada seseorang yang fikir ianya bukan sesuatu yang mustahil,” Hakimie memotong ayat Azreen. Barulah Azreen menoleh melihat ke arah Hakimie dengan pandangan penuh tanda tanya. Lelaki itu duduk santai sambil memandang ke langit.

“Maksud saya tentang idea yang kedengaran bodoh, menjadikan hasil cantuman beberapa logam aluminium sebagai kenderaan beratnya beribu tan dan membawa manusia menyusuri langit. Di ikut akal logik, pastilah ianya mustahil dan kekal menjadi angan-angan” kata lelaki itu bersama tawa kecil.
“Tetapi seseorang yang percaya ianya boleh dilakukan telah menjadikannya realiti. Pereka dan pencipta Boeing 707 telah berjaya membuktikannya pada 20 Disember tahun 1957. Sejak itu telah banyak variasi kapal terbang tersebut dihasilkan,” Hakimie berpaling memandang Azreen di hujung ayatnya.

“Jadi berhenti dari berkata mustahil dalam perkara yang hendak kita lakukan,”
Rasa kagum meresap ke sanubari Azreen. Kata-kata Hakimie itu seolah menggoncang ke dua bahunya, supaya dia tersedar dan berfikiran positif. Tidak terkata dia seketika.  Hakimie lalu menghulurkan beberapa kertas kajang pada Azreen.

"Ianya artikel yang bagus. Saya rasa seronok membacanya, membuatkan saya sendiri hendak melihat bintang Polaris yang terang di langit utara itu,” kata Hakimie. Azreen senyum hambar sebelum melepaskan keluhan kecil dan menyambut perlahan helaian kertas itu.

“Tiada apa-apa yang seronok pun. Awak sendiri dengar suara Teelofa yang kuat tadi. Selepas ini pasti tiada yang percaya saya menulis artikel ini.” keluhnya.

“Saya percaya. Saya nampak awak berusaha sendiri menulisnya. Sehinggakan sanggup mengorbankan waktu rehat demi memantapkan penulisan,” kata Hakimie. Azreen lantas tersenyum. Hatinya menjadi lapang mendengarkannya. Kenyataan yang Hakimie mempercayainya di saat semua orang menuduhnya meniru, itu sudah mencukupi buatnya.

“Awak memang suka berkata sesuatu yang positif, bukan?” soalnya. Hakimie  tertawa kecil.

“Jika kita boleh memilih untuk berkata yang elok-elok, mengapa harus pilih yang negative. Samalah seperti sikap kita juga. Mengapa harus pilih menjadi jahat, malas, sinis jika kita boleh memilih menjadi individu yang bersikap sebaliknya, bukan?” jawab Hakimie.  Kemudian dia memandang Azreen sambil menarik nafas dalam-dalam.

“Dalam kehidupan kita, dalam setiap apa yang kita lsayakan, akan ada dua respon. Sama ada orang akan memuji ataupun orang akan mengkritik. Selalunya manusia kan menjadi bersemangat untuk terus melsayakan yang terbaik jika dipuji. Tetapi hanya manusia yang kuat sahaja sanggup menjadikan kritikan sebagai motivasinya untuk berjaya,” kata Hakimie terang dan jelas.

“Kita sentiasa ada pilihan, Azreen. Menjadi positif ataupun negatif. Untuk hidup baik-baik, awak harus pandai memilih,”

Azreen terdiam. Namun matanya bersinar-sinar memandang Hakimie. inilah bintang Polarisnya. Sentiasa bersinar terang. Yang paling penting, menyinari hidup Azreen.

CINTA POLARIS unedited
BY RuruMJ

2 ulasan:

  1. Akak pun guna polaris office juga kalau mls on pc... tapi menulis tak la selincah mcm guna pc :D


    ♥nong andy♡

    BalasPadam
  2. haha kan? sebab kadang2 rasa penat duduj depan laptop. tetapi sekarang aku lebih suka guna app Document On The Go. sebab app itu sahaja yang boleh masuk dalam hp 9thology yang murah ini hehe. thank you for reading this entry :-)

    BalasPadam