Keuriositi itu cumalah kedai buku terpakai yang biasa-biasa sahaja. Susun
aturnya pun tidak lah semoden mana. Rak-rak kayu yang tinggi sehingga mencecah
siling dan dipenuhi dengan buku terpakai Cuma bercatkan varnis, itu pun dicat
berkali-kali agar tidak kelihatan buruk. Keseluruhannya kawasan dalam kedai itu
memang sempit. Tidak sesuai jika pelanggan yang berkunjung mahu berlama-lama di
situ. Paling tidak pelanggan mungkin akan mengambil masa 15 minit sahaja.
Memilih buku yang diinginkan, bayar di meja kaunter kecil di sudut kedai dan
berlalu keluar.
Chals merupakan satu-satunya pekerja
di Keuriositi itu merasakan ada sesuatu yang ganjil hari ini. Empat pelanggan
lelaki yang datang sejak sejam yang lalu masih berlegar-legar di dalam kedai
sempit itu. Tidak seperti pelanggan yang lain, mereka cuma menyentuh kulit buku
dengan hujung jari sambil mencuri lihat ke arahnya. Lebih mencurigakan Chals
apabila lelaki-lelaki itu kelihatan seragam. Kesemuanya berpakaian sut hitan.
Salah seorang daripada mereka, yang kelihatan paling besar, berkepala botak.
Sesekali pandang bagaikan geng mafia sahaja Chals lihat. Adakah geng mafia dia
Malaysia ini?
"Mana bos ini?" gumam
Chals sendirian. Terasa gerun pula apabila melihat renungan empat lelaki itu.
Berkali-kali Chals mengerling ke arah pintu kedai, mengharap kemunculan
majikannya. Katanya Cuma hendak keluar sekejap membeli makan tengahari, tetapi
sudah berpergian hampir dua jam.
Chals menutup buku tulisan Enid
Blyton yang dibacanya sejak dari tadi. Ketika dia berdiri, secara tiba-tiba
empat lelaki tadi terus menerpa ke arahnya. Chals tidak sempat untuk bersuara
apabila salah seorang dari mereka mencengkam kolar bajunya.
“Mahu lari ke mana? Kau tidak akan
terlepas kali ini!” kata lelaki itu dengan suaranya yang menderam. Chals
meronta sambil cuba meleraikan cengkaman kuat di kolar bajunya.
“Apa ini encik?” soalnya dalam
kepayahan bernafas. Kepalanya ligat berfikir mengapa dia di serang oleh
lelaki-lelaki ini. Dia tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa, malah berhutang
dengan lintah darat pun tidak pernah. Paling tidak baru tiga bulan lepas dia
membeli kipas baru secara ansuran, tetapi setiap bulan dia pasti membayar tepat
pada waktunya.
“Kami sudah kepung kau! Habislah kau
kali ini!”
“Kita belasah sahaja dia!”
“Jangan, bos arahkan kita menangkap
dia sahaja. Nanti kita pula yang kena kalau budak ini pengsan,”
“En..encik! ap..apa salah saya?”
hampir menangis Chals meluahkan soalan itu. Seluruh tubuhnya menggeletar.
“Banyak salah kau! Sekarang kau
mesti ikut kami, Rulupin!”
Chals berhenti meronta-ronta.
Terkebil-kebil dia memandang lelaki botak yang mencengkam kolar bajunya.
Kemudian dia berkata dengan jelas,
“Encik sudah salah orang ini,’
“Amboi, bila nyawa sudah di hujung
tanduk pandai pula hendak mencipta dalih ya? Kau tidak akan terlepas, Rulupin,”
gertak si botak.
“Kami sudah buat risikan, Keuriositi
ini kepunyaan Rulupin, dan sejak dari tadi hanya kau sahaja yang duduk di
kaunter itu! Jangan hendak menipu lagi!”
“Saya tidak cakap bohong,
encik…kalau tidak percaya periksalah kad pengenalan dalam dompet saya. Tapi
kalau boleh janganlah ambil duit di dalam itu ya, itu sahaja budget makanan
saya untuk bulan ini,” ujar Chals bersungguh.
“Banyak cakap pula dia ini. Cepat,
periksa dompetnya. Kalau dia sengaja berdalih, tahulah dia nasibnya!” arah si
botak. Kocek seluar Chals digeledah kasar, dan dompetnya di periksa. Empat
lelaki bersut hitam itu terdiam sambil berpandangan sesama sendiri.
“Hah…saya tidak berdalih bukan? Saya Chals, bukannya
Rulupin,” kata Chals senyum lebar. Namun senyuman itu hilang sebaik melihat
wajah bengis lelaki-lelaki di hadapannya itu. Cengkaman di kolar baju
dileraikan. Chals ditolak sehingga jatuh terlentang di lantai.
"Kalau kau bukan Rulupin, apa
yang kau buat di sini? Mana Rulupin?!" melengking suara si botak menyoal
sambil menggenggam penumbuk.
"Saya cuma pekerja sahaja di
sini, encik. Tolonglah jangan apa-apakan saya, encik" jawab Chals.
Keringat sudah membasahi pipinya. Tangannya sudah berasa sejuk. Adakah dia akan
cedera parah dikerjakan oleh empat lelaki seperti mafia ini?
"Penghantaran pizza!"
Suara itu menyebabkan mereka
serentak berpaling memandang ke pintu kedai. Seorang gadis bertudung hitam,
memegang kotak pizza berdiri di situ.
“Tiada orang pesan pizza di sini.
Cepat pergi!” herdik salah seorang dari lelaki bersut hitam itu. Sementara
mulut Chals bergerak-gerak tanpa mengeluarkan sebarang bunyi sambil memandang
gadis itu dengan terdesak.
“Eh? Iya? Tetapi tadi ada seorang
kakak sudah bayarkan untuk pizza ini dan arahkan kami hantarkannya ke kedai
ini. Kedai…Keuriositi…ya, kedai Keuriositi. Nah,’ jawab gadis itu sambil
menghulurkan kotak pizza sederhana besar itu. Kenaifannya tidak dapat mengesan
kekasaran sedang berlaku dalam kedai itu. Sedikit pun tidak gentar melihat
ketrampilan empat lelaki ala mafia itu. Sesekali dia memandang Chals sekilas.
“Pergi…pergi, aku cakap!”
Namun gadis penghantar pizza itu
masih tidak berganjak. Terkebil-kebil dia memandang empat lelaki itu, lebih
kepada lelaki botak yang mungkin ketua di antara mereka.
“Jadi, di mana harus saya letak
pizza ini?” soalnya pula sambil mata meliar ke sekiling kedai. Chals masih
memandang gadis itu dengan penuh pengharapan.
“Eh, budak…aku ini jenis yang tidak
akan pukul perempuan. Tetapi kalau kau tidak berambus dari sini sekarang,
jangan salahkan aku jika aku belasah kau nanti!” si botak sudah mengugut.
Sambil menarik nafas dalam-dalam dan menunjuk ke arah Chals, gadis itu menyoal
dengan nada berbisik,
“Encik sekalian ini hendak pukul dia
itu kah? Kenapa, encik? Dia tidak bayar hutang, kah?”
“Eh eh, budak perempuan ini, kuat
menyibuk betul lah! Cepat pergi dari sini! Tinggalkan sahaja pizza itu di
pintu,” tengking si botak semakin geram.
“Okay…okay…minta maaf kerana
mengganggu, encik,” kata gadis itu akhirnya sambil meletakkan kotak pizza di
tepi pintu dan berlalu. Chals sudah pucat lesi melihat satu-satunya peluang
meminta bantuan sudah beredar pergi. Menelan liur dia terasa dirinya mengeletar
memandang bagaikan empat buah gunung tinggi dihadapannya kini.
***
“Encik…encik, tolonglah jangan
apa-apakan saya! Saya bukan Rulupin. Nama penuh saya Chaldan Bin Zamri, Encik!
Encik sudah lihat kad pengenalan saya tadi, bukan? Saya cuma pekerja sahaja di
kedai ini,encik!” dia terus berlutut merayu.
“Diam kamu! Apa yang kita hendak
buat dengan budak ini?”
“Hapuskan sahaja. Dia sudah lihat
wajah kita, nanti dia laporkan kepada polis pula,”
“Idea yang bagus,”
Chals mengensot berundur apabila
empat lelaki itu mula melangkah perlahan kearahnya. Oh, adakah riwayatnya akan
tamat di situ?
“Tidak memukul perempuan mungkin
sikap yang budiman, encik. Tetapi bila empat lelaki cuba memukul seorang lelaki
yang ternyata bukan lawan mereka, itu pengecut namanya wahai encik,”
Tercengang-cengang empat lelaki itu
apabila satu suara menyapa cuping telinga. Rupanya gadis penghantar pizza tadi
sedang bersandar di pintu kedai. Jika tadi dia kelihatan naif dengan mata
bundarnya, kini dia nampak berbeza.
“Chals tiada kena mengena dalam hal
ini, bukan? Jadi lepaskan dia,” selamba gadis itu menyuruh.
“Bos! Bos, tolong saya! Tolong saya,
Bos!” terdengar suara Chals yang mengeletar.
“Bukankah aku yang kamu cari?”
Kata-kata gadis itu membuatkan empat
lelaki bersut hitam terpingga-pingga. Mereka memandang ke arah gadis itu dan
Chals silih berganti seolah sedang memerhatikan perlawanan tenis. Akhirnya
pandangan mereka berhenti pada wajah si gadis bertudung hitam.
“Bos?”
“Rulupin? Jadi kau lah Rulupin yang kami
cari? Rulupin si penyiasat upahan itu?”
“Bos tidak kata pun yang Rulupin itu
adalah seorang perempuan?”
Rulupin cuma tersenyum kecil.
Perlahan dia menanggalkan kaca mata tanpa bingkainya dan juga jam tangan.
“Mungkin dia tidak mahu mendedahkan
bahawa seorang perempuan yang berjaya mengumpul maklumat tentang kuropsinya di
Syarikat Mega Bakti, malah memberikan semua maklumat itu kepada pihak polis.
Kini terpaksa berhadapan pula dengan hukuman penjara. Dia merasa hal itu
menjatuhkan maruah dia agaknya,” katanya.
Keempat-empat lelaki bersut hitam
yang tadinya terpingga hairan, bagaikan tersedar sebaik mendengar kata-kata
itu. Masing-masing menderam tidak puas hati merenung bak helang pada Rulupin.
Ternyata Rulupin tidak gentar dengan ugutan dari pandangan mereka apabila dia
cuma senyum.
“Kamu ternyata hebat juga ya, kerana
dapat menjejak aku di sini. Belum pernah lagi ada samseng datang mencari aku
sampai ke Keuriositi. Mungkin bos kamu terlalu mendesak kamu mencari aku ya?”
“Jangan banyak cakap lagi. Sekarang
kami sudah kepung kau! Kau ada temu janji dengan bos kami!” keras dan terang
suara lelaki botak.
“Temujanji ialah pertemuan di atas
persetujuan di antara dua individu, bukan? Rasanya aku tidak pernah bersetuju
hendak bertemu dengan bos kamu itu,”
Ketua lelaki bersut hitam nampaknya tidak
menghiraukan jawapan Rulupin. Dia berpaling memandang kebelakang dan
mengisyaratkan sesuatu kepada anak-anak buahnya. Tiga lagi lelaki bersut hitam
itu mengerti dan mula melangkah mendekati Rulupin.
“Bos! Berhati-hati bos!” suara Chals
kedengaran lagi. Walaupun tidak lagi tersenyum namun Rulupin tetap kelihatan
tenang. Matanya tidak lepas memandang tiga lelaki yang sedang melangkah
kearahnya. Ketiga-tiga lelaki itu tersengih-segih sinis, dalam hati beranggapan
menangkap seorang gadis bukannya satu perkara susah. Melainkan gadis itu
sebenarnya pakar dalam seni mempertahankan diri.
Rulupin terlalu pantas untuk mereka.
Tidak sampai satu minit, tiga lelaki besar itu sudah terbaring mengerekot di
lantai Keoriositi. Ada yang memeluk perut, menekup kepala dan juga
mengosok-gosok tulang kering. Mereka tidak mampu bersuara, hanya kerutan di
dahi masing-masing menunjukkan merekan dalam kesakitan.
Chals mengosok-gosokkan matanya
beberapa kali, cuba memastikan dia tidak tersalah lihat. Mulutnya bagaikan
tidak dapat terkatup lagi. Terdengar dengusan kuat di sebelahnya. Dilihatnya
ketua lelaki bersut hitam yang botak itu sedang menahan kemarahan kerana tidak
menyangka anak buahnya tertewas awal. Kembang kuncup hidungnya bak serobong
kereta api sambil memandang tajam pada Rulupin.
“Aku berikan kau peluang terakhir.
Pergi dari sini sekarang bersama anak buah kau ini dan aku tidak apa-apa kan
kau,” kata Rulupin dengan nada serius. Kata-katanya hanya membuatkan si botak
itu bertambah berang. Dengan penumbuk yang digenggam, dia menerpa ke arah
Rulupin seperti ahli sumo.
SWOSH! SWOSH!
Bunyi udara bergeser dengan penumbuk
gergasi si botak itu membuatkan Chals kecut perut. Dia cuma mampu menggigit
jari ngeri melihat Rulupin bergerak pantas mengelak dari semua tumbukan itu.
“Jaga-jaga bos...elak bos...elak
bos...ELAK! Woah...” Chals mengurut dada lega apabila leher Rulupin hampir
dicengkam oleh jari-jermari gergasi itu namun Rulupin bagaikan gimnas terlatih
segera membuat lompatan kuak belakang, sekali gus menghadiahkan tendangan ke
dagu si botak.
Terundur-undur dia menerima
tendangan itu. Dia bernafas kencang, mengesat dagu sambil merenung Rulupin
tajam. Gadis itu cuma menyungging senyum.
“Aku masih di sini,”
“Mustahil aku akan di kalahkan oleh penyiasat
kecil-kecilan seperti kau!” teriak si botak tidak berpuas hati dan terus
menerpa. Kali ini Rulupin tidak mengelak seperti tadi, tetapi dia juga menerpa.
Tanpa diduga dia menunduk untuk melibas kaki si botak menggunakan penendangnya.
Akibat hilang keseimbangan, lelaki itu terhantuk kuat pad arak buku sebelum
jatuh tersembam dan pengsan.
Rulupin melepaskan keluhan. Dia bercekak pinggang
memandang sekitar kedainya yang berantakan.
“Saya tidak suka sebenarnya melihat huru hara di kedai
buku. Entah darimana lah mereka mendapat maklumat tentang kedai ini,” dia
mengomel perlahan.
“Bos!” bentak Chals dengan nada yang hampir menangis
sambil lekas-lekas dia berdiri.
“Mengapa Bos tidak bantu saya awal-awal tadi ketika bos
muncul? Menyamar jadi penghantar pizza pula? Saya sangkakan saya akan teruk
dikerjakan mereka tadi...” terus perlahan nadanya seolah menahan sebak. Rulupin
berpaling memandangnya dengan riak rasa bersalah.
“Maaf, Chals. Tetapi saya terpaksa buat begitu. Jika saya
masuk dan dan terus serang sahaja, kekurangan berada di pihak kita,”
“Kekurangan?”
“Iyalah, manalah tahu rupa-rupanya bukan mereka berempat
sahaja yang berada dalam kedai ini, tetapi ada lagi berbelas orang yang sedang
bersembunyi di pelosok Keuriositi ini,”
Chals yang tadinya sudah memasang mimik merajuk, sudah
terlopong dengan mata hampir terjojol.
“Oh! Oh, saya tahu! Bos berpura-pura menyamar sebagai
penghantar pizza sebenarnya untuk mengenalpasti keadaan di dalam kedai ini, dan
kali kedua bos muncul barulah bos lancarkan serangan?” soalnya dengan suara
yang nyaring.
“Tidak...kita buat perundingan elok-elok meminta mereka
beredar. Jika mereka sudah gunakan kekerasan, barulah kita pertahankan diri.
Pergaduhan adalah baik dielakkan, Chals,”
Chals mengangguk-angguk mendengar jawapan Rulupin. Kelam
kabut dia mengeluarkan buku nota kecil dari kocek kemejanya dan mula mencatit
sesuatu dengan laju.
“Kenal pasti...perundingan...elak pergaduhan...” gumamnya
perlahan.
Rulupin cuma mendengus senyum melihat pekerjanya itu.
Sekali pandang mungkin ramai yang mengatakan Chals adalah lelaki yang mudah
kalut, cepat cemas, lemah dan nampak penakut. Namun dari sisi lain, lelaki itu
rajin, amanah dan setia. Kerana itu juga Rulupin mengambilnya berkerja di Kedai
Keuriositi setahun yang lalu. Malah setelah mengetahu pekerjaan sebenar Rulupin
secara tidak sengaja (Chals terjumpa fail sulit sewaktu mengemaskan meja
kaunter) lelaki itu mahu berguru pula dengannya. Kononnya mahu menjadi
penyiasat upahan juga.
Rulupin terus menuju ke meja kaunter dan mula
mengeluarkan beberapa fail dari meja sebelum menunduk ke bawah meja di mana
terdapat peti simpanan besi sederhana kecil.
“Ambil apa yang penting, Chals. Jangan lupa kosongkan
tong sampah,” arah Rulupin dari bawah meja.
“Kenapa bos? Hendak buat apa?”
“Hendak buat apa lagi? Tinggalkan tempat inilah. Jika
sudah ada orang mencari Rulupin si penyiasat sampai ke sini, ternyata sudah
tidak selamat saya bersembunyi di sini lagi,”
“Habis...mengapa hendak kosongkan tong sampah?”
“Buat sahaja. Awak jangan lupa bawa barang-barang awak.
Oh ya, jangan lupa packing beberapa buku yang saya suka baca. Tidak mahu merasa
bosan semasa dalam perjalanan nanti,”
Chals terdiam. Terkebil-kebil dia sambil memandang sekeliling
kedai itu.
“Kita akan berpindah? Tinggalkan kedai ini begitu
sahaja?” soalnya dengan nada perlahan.
“Terpaksa. Tidak mustahil akan ada lagi yang datang
mencari saya di sini. Jika saya terus berada di sini, nyawa saya dalam bahaya,”
jawab Rulupin. Chals bereaksi agak keterlaluan dengan sebelah tangan menekup
mulut yang sudah terlepas jeritan kecil dan sebelah tangan lagi mencengkam
kolar kemejanya. Rulupin keluar dari bawah meja dengan sebuah beg sandang yang
agak kembung. Dia memandang Chals dengan tenang.
“Jangan terlalu terkejut, Chals. Inilah risiko yang harus
di ambil oleh seorang penyiasat upahan. Menjadi musuh kepada mana-mana individu
yang dibongkarkan jenayahnya. Masih belum terlambat untuk awak menarik diri
dari bidang ini, Chals. Nasihat ikhlas saya,” kata Rulupin sambil melangkah ke
arah mesin faks pula.
Chals menurunkan kedua tangannya. Dia mengetap bibir
terdiam agak lama. Rulupin pula kelihatan sibuk memeriksa sesuatu di mesin faks
itu. Setelah berdiam agak lama, Chals teragak-agak membuka mulutnya dan
berkata,
“Saya..saya tidak pernah bercadang mahu berhenti. Tetapi
jika boleh, bos..bos ajarlah saya cara-cara mempertahankan diri jika diserang
supaya...supaya saya dapat jaga diri saya...”
Rulupn tidak menjawab. Dia beralih dari mesin faks itu
sambil menyungging senyum memandang Chals yang memandangnya takut-takut.
“Tunggu apa lagi? Cepat kosongkan tong sampah. Kita
beredar sebelum empat samseng ini terjaga. Biarkan saya kedai ini begini.
Sebentar lagi kawan saya akan selesaikan,” katanya terus membuatkan Chals
menguntum senyuman lebar.
“Segera menjalankan tugas, bos!” kata Chals sambil
melompat riang menuju ke arah tong sampah yang terletak di tepi rak buku. Sambil
bernyanyi kecil dan sumbang, dia mula mengikat plastik sampah. Rulupin sesekali
memandang ke arahnya cuma tergeleng-geleng kecil.
“Biarkan saja suis lampu itu, Chals...”
Belum pun sempat Rulupin menghabiskan ayatnya, terdengar
jeritan nyaring Chals. Kelam kabut Rulupin berpaling memandangnya dan melihat
lelaki berkepala botak tadi sudah tersedar dari pengsan dan sedang mencengkam
pergelangan buku lali Chals.
“Kamu sangka kamu akan dapat melepaskan diri?” menderam
suaranya berkata dengan wajah yang masih pening-pening lalat. Chals yang
ketakutan hanya mampu menjerit sambil memejam mata. Sedikit kaget, Rulupin
mengambil apa yang mampu tercapai olehnya di atas meja kaunter dan mengetuk
kuat kepala lelaki botak itu.
PAK!!
“Aduh! Mengapa pukul kepala ibu dengan sayur?!”
Tercengan Rulupin sebaik mendengar suara perempuan yang
keluat dari mulut si botk itu. Suara itu pula amat di kenalinya.
“Ib...ibu?”
***
“Ya Tuhan! Apa kena dengan kamu ini, Lupin? Dipanggil
dari tadi tidak menyahut! Kemudian ketuk kepala ibu pula! Kamu mengigau ya?”
memetir suara Puan Norma yang bercekak pinggang memandang anak sulungnya itu.
Di dahinya masih melekat beberapa helai daun sayur kangkung.
Rulupin masih berdiri tercengang di tempatnya sambil
memandang sekeliling pasar besar itu kemudian beralih memandang tangannya yang
memegang seikat sayur kangkung.
“Eh? Sayur? Aku ketuk si botak tadi dengan sayur kah?”
dia menyoal sendiri.
Kedengaran Puan Normah mendengus dan mengeleng-geleng
geram sehingga jatuh gugur daun kangkung di dahinya.
“Apa yang kamu merepek ini? Siapa si botak? Huh, memang
sah kamu tengah mengigau, bukan? Ibu suruh kamu ikat sayur-sayur ini tetapi
kamu boleh tidur pula, Rulupin?”
Suara bak petir itu membuatkan Rulupin benar-benar segar.
Beberapa pengerai sayur yang berjiran dengan gerai mereka sudah tertoleh-toleh.
Tergaru-garu dagu, Rulupin memandang ibunya sambil tersengih-sengih
“Maaf, maaf. Tidak sengaja tertidur ibu,” katanya. Puan
Normah tidak berkata apa-apa, tetapi asyik tergeleng. Dia mengerutkan keningnya
menyungging kepala ke arah sebakul sayur kangkung yang belum diasingkan. Faham
dengan isyarat itu, Rulupin mengangkat tabik hormat dan kembali meneruskan
kerjanya.
Tersenyum-senyum Rulupin semasa mengikat sayur kangkung
itu apabila teringatkan mimpinya tadi.
“Rulupin si penjual sayur sudah jadi Rulupin si penyiasat?
Boleh tahan bergaya juga aku. Chals pula adalah anak murid aku? Pasti bising
mulut dia jika tahu tentangnya,” bisiknya dan ketawa gelihati sendirian. Dia
membuat nota di dalam kepala untuk mencatat butir-butir mimpi nya tadi, hendak
menjadikannya plot untul novel agungnya.
“Novel agung konon...perenggan pertama pun belum ada,”
bisiknya sendirian, ketawa lagi.
Haha... mimpi rupanya. Mahu tahu juga kisah seterusnya.. siapa geng kepala botak itu.. apa yang dia mahu dengan rulupin...
BalasPadamSila sambung ...
Nong andy