dulu...aku memang nakal, kadang-kadang sampai orang mahu saja cubit aku. teringat satu peristiwa sewaktu aku masih belajar di sekolah rendah. waktu itu aku masih lagi tinggal di sebuah taman perumahan di Lahad Datu. aku berkongsi bilik dengan adik perempuan aku yang pertama. usia kami cuma beza setahun sahaja, jadi segala-galanya waktu itu aku berkongsi dengannya. baju sama, beg sekolah jenis yang sama, malah stail rambut pun di potong sama. Ada juga mulut-mulut kata kami kembar kononnya.
kalau ada sesiapa yang pernah tinggal di Lahad Datu sewaktu zaman 90-an dahulu pasti pernah mengalami gangguan elektrik. selalu sangat ada gangguan elektrik siap edarkan jadual lagi bila akan berlakunya gangguan elektrik. supaya senang beli lilin awal-awal agaknya.
suatu malam, sewaktu bekalan elektrik terputus, bapa aku suruhlah kami tidur awal sebab sudah lewat pun elektrik masih belum hidup. aku seorang ulat buku kan? jadi biarpun gelap-gelap aku tetap juga hendak baca buku. adik yang perempuan itu sudah pun tidur di katilnya. Mak aku letakkan sebatang lilin di atas meja dan letak di antara katil aku dan adik aku itu, mungkin sebab dia lihat aku hendak membaca agaknya.
seorang budak yang mempunyai imaginasi yang tinggi, yang sentiasa mengimpikan pengembaraan seperti bertarung dengan lanun, memburu makhluk asing, menyelam kedasar lautan, tentu sahaja tidak akan duduk diam. aku selalu terlihat dan terbaca di dalam buku tentang perkhemahan di dalam hutan. ada khemah dan unggun api. melihatkan cahaya lilin yang malap-malap itu membuatkan aku tertanya-tanya bagaimanalah agaknya keadaan sebenar unggun api.
jadi, aku pun mengambil sebuah kotak dan meletakkan beberapa gumpalan kertan di dalam kotak itu, lalu menyalakannya dengan lilin. Api kecil yang mula membakar gumpalan kertas itu sangat cantik, sumpah, sangat cantik. biasalah budak-budak...bila terlalu seronok, aku jadi lupa yang api itu jika besar menjadi lawan.
akibat memasukkan gumpalan kertas yang banyak ke dalam kotak itu, sang api mula menjadi besar. waktu itu aku tidak panik, cuma terfikir mencari air untuk memadamkan api. jadi aku pun turun ke dapur mengambil segelas air. Segelas air ya...bapa dan mak aku yang duduk berbual di ruang tamu menjadi hairan kenapa aku membawa segelas air ke bilik. mereka mula syak dan menjadi panik bila dengar suara adik aku menangis.
apa yang jadi seterusnya? bersyukur aku kehadrat Ilahi yang rumah aku tidak terbakar malam itu ataupun adik aku tidak terbakar malam itu. mak aku sempat membawa naik sebaldi air dan memadam kotak yang marak dengan api itu. adik aku rasanya macam dah trauma, mungkin sebab itu dia tidak suka berkongsi bilik lagi dengan aku hahaha, kesian dia. kalau aku ingatkan riak mukanya waktu itu rasa bersalah pula.
dan aku? aku dapat habuan dari bapa aku, kira okay lah itu daripada dia merotan aku dengan sepenuh hati kan? dan aku pun jadi budak baik, untuk seketika sahaja.
pengajarannya di sini, memang betul api bila kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan
dan berikan perhatian pada anak-anak yang membesar, lebih-lebih yang suka berimaginasi macam aku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan