Jumaat, 6 September 2013

Throwback cerpen lama



Asingnya Tamu

“Mau beritahukah atau simpan sendiri? Mau beritahukah atau simpan sendiri?” berkira-kira Hapipie sambil mundar mandir di hadapan barisan gerai di dataran Kong Fah itu. Beberapa pegerai menjeling padanya, mungkin meluat melihat Hapipie bagaikan menganggu perjalanan niaga mereka kerana asyik mundar mandir di situ. Hapipie berpura-pura tidak perasankan pandangan mereka. Setakat bermundar-mandir sahaja di situ pun, bukannya dia buat aksi baring ala bersantai di hadapan gerai mereka. Jadi, dia meneruskan aktivitinya sambil cuba untuk tidak terlalu memikirkan tentang para pegerai di situ.
            Saat Hapipie sedang mundar-mandir, Shah dan Julian datang lalu menyergahnya. Hapipie  terkejut terus sahaja dia melompat di situ. Mengurut-urut dada, namun sempat dia menampar lengan Shah yang sedang terkekeh mengetawakannya.
            “Bagi salam bah lain kali! Budaya apa kau pakai main sergah-sergah ni!” rungut Hapipie mendengus kasar. Shah masih ketawa sampai mengeleng-gelengkan kepala, mungkin baginya aksi Hapipie yang terkejut tadi setaraf dengan lawak antarabangsa. Sementara Julian yang memegang sepaket jeruk kedondong cuma tersengih lebar.
            Sorrylah geng… Aku bukannya apa, dari jauh lagi aku sudah nampak kau macam buat kawad kaki depan Kong Fah ini. Saja bah mau gurau-gurau, jangan marah bah kawan,” Shah menjawab setelah tawanya reda. Hapipie menjeling padanya, masih sebal dengan tindakan Shah tadi. Tentu pegerai-pegerai yang meluat dengannya tadi suka hati apabila melihat dia buat aksi terlompat. Sudahlah dia tengah susah hati sekarang. Kawan-kawannya ini tidak tahukah yang dia punyai masalah besar? Mengingatkan masalah yang bertapa di kepalanya sebelum kedua kawannya datang tadi, Hapipie tidak jadi hendak terus menayangkan mimik mukanya yang geram, dia kembali kelihatan resah.
            “Iyalah Pie, aku pun hairan tengok kau tadi. Kenapa? Kau ada masalahkah?” Julian pula menyoal. Tangannya sedang berusaha mengeluakan seketul jeruk kedondong dari plastik di tangannya. “Kalau ada masalah, kasi tahulah sama kami, kita kan sudah macam anak-beranak.”
            Jika orang lain yang sedang susah hati kerana masalah besar di soal sebegitu, apatah lagi jika disoal dengan nada yang penuh prihatin, mungkin akan berasa lapang hati mendengarkannya. Namun berbeza pula situasinya dengan Hapipie. Baginya, ianya cuma seperti menumpahkan garam pada luka yang masih berdarah. Hapipie semakin resah. Dia masih tidak dapat memutuskan samada harus berkongsi masalah ini ataupun menyimpannya sahaja. Ketidakpastian itu membuatkan dia mendesis dan menghela nafas kasar.
            “Adik-beradiklah, bukan anak-beranak! Apalah kau ini,” Shah membetulkan ayat Julian tadi.
            Aiya, salah meh? Sorry… Sorry,” selamba Julian yang berbangsa Tionghua itu menjawab. Biasalah Julian, lidahnya masih lagi tunggang-langgang hendak bertutur dalam bahasa melayu. Shah menggeleng perlahan dan memandang Hapipie dengan dahi berkerut seribu.
            “Kau ni kenapa kawan?” dia menyoal kali ini dengan lebih serius. Mereka bertiga berkawan sejak dari sekolah menengah lagi sehinggalah mereka berkerja sebagai porter di Heritage Hotel bersama-sama. Jadi, dia kenal sangat dengan Hapipie yang selalunya kelihatan tenang dan suka ketawa lepas walaupun sesuatu itu tidaklah selucu mana pun. Pendek kata Hapipie seorang yang santai. Berbeza pula dengan Hapipie yang berada di hadapannya kini. Seperti sedang terseksa dalam diam kerana menyimpan satu masalah besar. Kali terakhir dia dan Julian  berjumpa dengan Hapipie adalah pagi kelmarin, sewaktu mereka bertukar shift kerja. Ketika itu Hapipie kelihatan seperti biasa sahaja, malah Hapipie sibuk bercerita rancangannya hendak tidur sepanjang hari di rumah kerana kelmarin adalah off daynya. Tetapi hari ini, kawannya itu sangat berbeza.
            Hapipie memandangnya tetapi tidak menjawab. Dia cuma mendengus perlahan sebelum menghayun langkah dari situ. Shah menyiku lengan Julian yang masih sibuk dengan jeruk kedondongnya, lalu mereka berdua berlari anak cuba menyaingi langkah Hapipie.
            “Lambat sudah kita ni geng, nanti kena pula kita dengan Miss Theron,” kata Hapipie merujuk kepada Hotel Manager di tempat mereka berkerja. Shah cuma mencebik mendengarnya.
            “Ala, tenang saja kawan. Aku sudah pesan dengan si Adi, kalau kita lambat, aku minta tolong dia punchkan ID card kita dulu,” katanya dengan senyuman nakal.
            “Kau ni memang selalu buat begitu kan? Suka-suka hati kau saja. Kalau Miss Theron dapat tahu, memang tinggal separuhlah gaji kau hujung bulan nanti,” getus Hapipie.
            “Aiya…. gaji yang full pun kita sudah cukup-cukup makan saja. Kalau gaji tinggal separuh saja, memang tidak makan langsung ooo,” Julian menyampuk sambil mulut sibuk  meratah jeruk kedondong yang akhirnya Berjaya dikeluarkan dari plastik. Shah ketawa terkikih mendengarkannya.
Kemudian dia menyiku lengan Hapipie seraya berkata, “Bah, petang nanti jadi kita main futsal? Sepatutnya semalam bah tu aku mahu ajak kau, tapi mentang-mentanglah kau off day kan, teruslah kau tidak mahu sambut call aku ya?”
            “Mungkin dia tidur satu hari semalam tu… kalau jadi main futsal, aku mau pinjam jersi Barca abang aku lah,” sekali lagi Julian menyampuk. Hapipie tidak terus menjawab. Keningnya berkerut-kerut bagai mencari jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada kawan-kawannya itu. Kemudian dia menggeleng-geleng perlahan bersama satu keluhan.
            “Sorry…aku tak boleh join lah. Aku… aku ada hal,” jawabnya.
            “Hal apa?”
            Anu bah… Adalah hal sikit.”
            “Iyalah, tapi hal apa juga tu? Mau juga kau berahsia dengan kami ni.”
            “Bagitau bah…”
            “Aku… Aku… Err… Aku ada… Mesti tolong… Tolong… Hah! aku kena buat assignment!” gugup Hapipie menjawab. Shah dan Julian berpandangan sebelum ketawa terbahak-bahak.
            “Kau tidak cukup tidurkah kelmarin ni, Pie?”
            “Agak-agaklah Pie…Assignment? Bila masa pula kau bergelar mahasiswa ni? Kau berangan lagi bah ni kan? Adui…” kata Shah.
            “Kita kena sedar diri Pie. Keputusan SPM kita dulu cukup-cukup makan saja kan? Manalah boleh masuk U,”Julian menyampuk.
            “Itulah bah tu, dulu time sekolah belajar pun malas-malas, apa boleh buatlah kan, sabar sajalah.”
            “Jangan kau bikin aku sedih bah Pie, terkenang-kenang aku cita-cita kita mau belajar di universiti yang inda kesampaian tu.”
            Hapipie cuma mendiamkan diri. Tiada pula tanda-tanda dia mahu membidas kata-kata dua rakannya itu. Dia menilik jam tangannya sebelum lekas-lekas masuk melalui Staff Entrance Hotel Heritage. Tawa Shah terhenti. Berkerut dahinya memandang kelibat Hapipie yang sudah hilang di balik pintu.
            “Julian.”
            “Ha.”
            Inda pelikkah kau tengok gaya si Pie tu?”
            “Sikitlah. Aku rasa… Mungkin kredit handphonenya habis.”
            “Cit! Mana ada kaitan! Budak tu bukannya ada girlfriend, mana pernah dia risau hanphonenya ada kreditkah tidak. Biasanya kita ni yang jadi mangsa request RM1 nya kalau dia tiada kredit. Cuba kau tengok, macam ada bah yang disembunyikannya dari kita.”
            “Sembunyi apa ya? Kau tahu kah?”
            “Kau ni pun, kalaulah aku tahukan, kau rasa mahu kah aku menanya kau?”
Julian terkebil-kebil, cuba menghadam soalan Shah itu. Shah akhirnya cuma menggeleng-gelengkan kepala, rasa menyesal pula bertanya pada Julian yang kadang-kadang boleh menjadi bodoh alang. Diam-diam dia membuat nota di dalam kepalanya untuk memerhatikan Hapipie dengan lebih lanjut.
*         
            Terkial-kial Shah membimbit dua bagasi pelancong dari Korea yang baru check-in tadi. Sepatutnya dia menggunakan troli sahaja, memudahkannya memunggah bagasi-bagasi itu ke tingkat lima. Tetapi troli itu sudah digunakan terlebih dahulu oleh Hapipie dan Julian untuk mengangkut semua bagasi dari kumpulan pelancong Australia yang di tempatkan di tingkat dua. Memikirkan dua rakannya itu perlu mengangkut lebih 30 bagasi bersaiz besar, Shah beralah sahaja. Bukannya dia harus menaiki tangga dengan dua bagasi ini, kan? Boleh naik lif pun, jadi bertolak ansur lebih baik.
            “Shah,” kedengaran Irdam, staf maintenance yang sedang memeriksa suis loceng di tingkat lima menegur Shah sebaik dia melangkah keluar dari perut lif.
            “Eh, kau bah ni Dam. Apa kau buat di sini ni? Curi tulangkah?” seloroh Shah. Irdam cuma tersengih sambil menulis sesuatu di clipboard yang dipegangnya.
            “Pandailah kau menuduh, aku buat check-up macam biasalah, nanti supervisor aku mengamuk pula. Sikit juga beg kau bawa itu. Tadi aku nampak dorang si Hapipie dengan si Julian bawa banyak beg. Mana adil begitu Dam…”
            “Alaa… Diorang dapat pakai troli bah, kira adillah tu. Aku guna kudrat dua tangan aku saja ni, hehe.”
            “Itulah bah kan, patutnya kamu Team Porter ni ada satu lagi troli tambahan lah untuk back up. Cubalah kau bayangkan kalau time banyak tamu datang hotel kita ni? Huru haranya, kamu juga yang tanggung tu.”
            “Entahlah Bos Besar kita tu, aku tengok memang bilik selalu saja fullhouse, ramai pelancong datang, tapi gaji tidak pula naik. Kalau minta tambah troli banyaklah alasan yang dorang bagi. Kedekut betul. Kalau lama-lama beginikan, aku ambiklah troli di Servay Supermarket tu , bawa ke sini, jadi aku angkat bagasi guna troli supermarket sajalah. Haha,” Shah ketawa. Irdam tersengih menggeleng kepala. Ringan tangannya membantu mengangkatkan satu bagasi dari tangan Shah. Shah mendahului jalan berdiri di hadapan pintu bilik 511. Pintu diketuk sopan.
            “Cerita-cerita ni kan, semalam aku jumpa si Hapipie bawa motor. Tengah-tengah malam pula tu, macam bingung-bingung ni… Entah apa dia cari.”
            Shah berkerut dahi mendengar ayat Irdam itu namun tidak sempat memberi respon apabila pintu bilik 511 terbuka dan terpacul kepala pelancong lelaki Korea persis artis TOP Big Bang.
            Your luggage sir,” kata Shah penuh dengan etika seorang hotelier sambil meletakkan dua bagasi tadi di ambang pintu.
            Thank you, here…” pelancong Korea itu menghulurkan satu not duit merah kepada Shah, malah turut di berikannya kepada Irdam yang berdiri di sebelah Shah. Irdam, tersengih tidak menyangka mendapat durian runtuh. Dia tertunduk-tunduk mengucapkan terima kasih dengan teruja.
            Aigoooo… Kamsamida! Kamsamida! Annyeong heseoyo!!”
            Shah cepat-cepat meminta diri lalu memaut lengan Irdam berlalu dari situ apabila pelancong itu sudah menahan ketawa melihat gelagat Irdam.
            “Shah, pelancong Korea itu inda tahukah aku ni bukan porter? Dia bagi aku tips juga ni!”
            “Kau ni pun, macamlah inda pernah dapat tips dari guest, sampai siap cakap Korea lagi.”
            “Eh, aku memang kepingin mau cakap Korea bah Shah. Ui... Untung aku ya, sudahlah dapat tips, boleh cakap Korea sama orang Korea! Cubalah kan awek Korea kah tadi kan, yang lawa macam SNSD tu, adui… Bangganya aku… Bolehkah tu ya kalau aku mau bergambar sama dorang? Ada juga buktikan.. kau rasa betulkah tu ya sebutan aku tadi tu?” Shah tergeleng-geleng, hairan juga kenapa Irdam teruja sangat bila mengucapkan terima kasih dalam bahasa Korea. Dia mengesyaki Irdam adalah peminat drama-drama korea secara senyap-senyap. Yalah, tengok dari gaya Irdam pun lelaki itu boleh tahan macho juga. Shah menyiku perlahan lengan Irdam yang masih tersenyum itu.
            “Tadi kau cakap…kau nampak si Hapipie kan?” dia menyoal. “Kau nampak dia di mana tu?”
            “Di area Fajar juga. Sempat juga aku panggil dia, tapi sebaik saja dia nampak aku terus dia pecut. Nda tau lah kenapa.”
            “Aik?” Shah berpeluk tubuh sambil berkerut-kerut dahi. Hapipie tunggang motor? Ianya bagaikan mustahil. Kenapa? Sebab Hapipie yang dikenalnya memang fobia kalau menunggang motor. Semuanya kerana salah Julian sewaktu mereka berada dalam tingkatan 5 dahulu. Abang Julian baru membeli motor ketika itu. Lalu, terujalah tiga sahabat itu mahu cuba menunggangnya. Mereka setuju untuk bergilir-gilir. Shah yang dahulu menunggang motor, namun belum bermasalah lagi. Kemudian tiba giliran Julian, juga belum ada apa-apa masalah yang terjadi, malah Julian siap menunjukkan skil merempit motor itu dengan gear lima. Bila tiba giliran Hapipie, Julian terlupa untuk free gear semula gear motor selepas merempit laju. Sebaik sahaja Hapipie duduk di atas motor, dia tidak sengaja memulas minyak. Ia satu tragedi buat Hapipie hari itu apabila dia terbang melayang beberapa meter ke udara sebelum mendarat di parit selepas motor itu  meluncur melanggar pembahagi jalan. Dan sejak itu, Hapipie menjadi fobia. Namun, dia hanya akan menaiki motor sebagai pembonceng sahaja.
            Tetapi maklumat yang diberitahu Irdam tadi menimbulkan tanda tanya di hati Shah. Malah menurut Irdam, Hapipie siap memecut laju sebaik sahaja dipanggil olehnya? Kemudian menurut Irdam juga, waktu itu adalah tengah malam? Apa yang sebenarnya terjadi sehinggakan Hapipie sanggup menunggang motor bersendirian di tengah malam? Dan motor siapa pula yang dia tunggang ?  Sahabatnya itu bukannya ada sebiji motor pun. Setahu Shah, Hapipie adalah lelaki ‘anak dara’. Lelaki yang lebih suka duduk di rumah jika tiada apa-apa keperluan untuk keluar. Musykil, Shah berusaha menepis pelbagai tanggapan negatif yang mengasak di kepalanya kini.
*
            “Semalam, time off day kau dekat rumah saja kah?” Shah menyoal. Dia bersandar di pintu masuk utama Heritage Hotel. Manakala Hapipie yang turut bersandar bersamanaya kelihatan gelisah. Sekejap-sekejap dia membelek jam tangannya. Tidak puas dengan itu matanya mengerling jam dinding pula. Julian pada ketika itu sedang makan tengahari di pantri. Sudah menjadi kebiasaan untuk mereka bergilir-gilir apabila tiba masa berehat.
            “Atau kau ada ke mana-mana? Waktu tengah malam?” Shah menyoal lagi, kali ini dia berhati-hati.
            “Ha? Apa ya?” Hapipie menyoal kembali, jelas dia tidak mendengar soalan Shah tadi. Dia memandang Shah dengan mimik kebingungan.
            “Aku tanya kau ni, kau ke mana semalam?”
            “Semalam?” Hapipie menyoal semula, namun sebenarnya dia tidak menumpukan sangat perhatian kepada Shah. Matanya berulang kali melihat jam di tangannya. Shah sudah hampir hilang sabar. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia mengikat Hapipie di kerusi, suluhkan lampu tepat di hadapan muka Hapipie, dan mula menyoal siasat sahabatnya itu. Dia bimbang sebenarnya dengan perubahan sikap Hapipie yang mendadak ini disebabkan oleh Hapipie terlibat dalam aktiviti tidak sihat, ataupun bergaul dengan budak-budak jahat. Sekarang ini sudah banyak cerita remaja-remaja yang terjerumus ke dalam kumpulan samseng, jual dadah, mencuri, mahupun berparti liar. Semuanya kerana pengaruh dari rakan sebaya. Hapipie yang biasanya  sentiasa kelihatan kemas, kini  nampak selekeh berpakaian uniform porternya. Tambahan lagi, dia tidak pakai nametag. Walaupun hakikatnya memang dia dan Julianlah rakan baik Hapipie, tetapi mungkin saja  di luar pengetahuan mereka berdua, Hapipie juga mempunyai kawan lain. Shah bimbang bukan sahaja kerana Hapipie itu sahabatnya dan Julian, tetapi apabila mengenangkan Mak Jejah, ibu Hapipie yang turut bergelar ibu tunggal kepada lima orang anak. Dan Hapipie sebagai anak sulung lelaki dan memiliki empat adik perempuan dibawahnya membuatkan hanya Hapipie sahaja menjadi harapan Mak Jejah yang sudah tua. Tentu kecewa hati ibu tua itu jikalau Hapipie membuat perangai yang elok.  
            “Iya, semalam…” Shah berusaha melawan rasanya.
            “Semalam? Semalam… Semalam aku tengok animasi sahaja dekat rumah. Kan aku cuti semalam.”
            “Animasi? Animasi apa konon?”
            “Err… Animasi… Animasi… Naturo!”
            Shah tahu sangat Hapipie sedang berbohong kerana Hapipie akan tunjuk reaksi muntah hijau jika Shah dan Julian mengajaknya menonton animasi terbaru dari Jepun. Tengok hendak sebut animasi popular Naruto pula boleh salah. Katanya dulu, dia sukakan produk tempatan. Jadi, biar sepopular mana pun produk luar negeri, dia akan hanya memandang sebelah mata.
            “Iya kah? Irdam bagitahu aku yang dia nampak kau bawa motor lalu area Fajar tengah malam semalam, kau buat apa di situ?” Shah terus mengutarakan soalan yang sejak dari tadi terbuku dalam hatinya. Hapipie yang sejak dari tadi gelisah kini tercengang-cengang mendengar soalan itu, bagaikan dia tertangkap melakukan sesuatu yang salah. Terkebil-kebil dia seketika sambil mulut bergerak-gerak cuba menjawab soalan Shah itu. Berterus-terang atau reka-reka alasan?
            “Aku… Aku cari kalau-kalau masih ada farmasi yang masih buka…” dia memberitahu akhirnya. Kening Shah berkerut.
            “Farmasi? Kau sakitkah Pie? Atau Mak Jejah yang sakit? Atau adik-adikmu kah?” laju sahaja Shah menyoal dengan nada bimbang. Hapipie menggigit bibir. Mendengarkan suara kebimbangan Shah itu membuatkan dia jadi tidak keruan. Rasa sukar jika terus berahsia dengan Shah dan Julian. Hampir sahaja dia membuka mulut hendak berterus terang apabila matanya melihat sebuah kereta Bently hitam yang berhenti tepat di hadapan Hotel Heritage. Matanya terbeliak sebaik melihat pemandu kereta itu melangkah keluar dan menuju ke pintu masuk hotel.
            “Aku pigi tandas dulu!”
Tanpa mukadimah selanjutnya, Hapipie dengan tergesa-gesa berlari dari situ menuju ke tandas di bahagian belakang pejabat pentadbiran. Shah terkejut dengan tindakan Hapipie itu, tetapi dia tidak sempat memanggil kerana pemandu Bently tadi sudah berdiri di luar pintu hotel. Menjalan kan tugas sebagai porter a.k.a bellboy, Shah membuka pintu sambil menyambut dengan ‘Malaysian Greeting’.
            Pemandu Bently itu seorang lelaki berbadan sasa dan berkepala botak. Memakai sut hitam tanpa tali leher dan berkaca mata hitam. Penampilan dia bagaikan seorang mafia. Terdapat dua lagi lelaki berbadan sasa yang berpenampilan sama mengekori di belakangnya. Mereka melangkah masuk ke lobi hotel sambil memerhatikan sekeliling perlahan-lahan. Shah hanya berdiam diri melihat gelagat mereka. Tiga orang tetamu ini hendak daftar masuk ataupun sekadar menumpang kedinginan air-cond di sini? Peliklah, sudahlah itu penampilan mereka seperti bodyguard. Setelah beberapa kali meliarkan pandangan ke sekiling lobi, mata lelaki botak tadi memandang ke arah Shah. Ketika dua orang pengiringnya tadi melangkah ke meja reception, lelaki berkepala botak itu pula melangkah ke arah Shah.
            “Siapa nama kamu?” soal lelaki itu dengan suara garau.
            “Err… Shah. Shahputra.” teragak-agak Shah menjawabnya. Lelaki botak itu diam seketika sebelum menyoal lagi. “Sudah berapa lama kerja di hotel ini?”
            Shah tertanya-tanya adakah lelaki ini ingin berkenalan dengannya siap bertanyakan soalan itu pula. Namun dia menjawab juga.
            “Lama juga tuan… Lebih kurang tiga tahun,”
            “Jadi kamu memang kenallah semua porter yang berkerja di hotel ini sejak tiga tahun yang lalu?” Shah mengangguk. Dari cara pertuturan lelaki itu, Shah dapat mengagak lelaki ini bukan berasal dari Sabah. Lelaki botak itu kelihatan menarik keluar sesuatu dari poket sutnya.
            “Kamu kenal dengan orang ini?” soalnya sambil menunjukkan nametag yang di pegangnya

PORTER
HAPIPIE YUSUF
                                                                                                                                               


           
Shah lantas tersentak melihat nametag itu, sambil hatinya mula tertanya-tanya bagaimana nametag kepunyaan Hapipie itu boleh berada pada lelaki botak  ala-ala mafia itu.  Kepalanya ligat mencari jawapan sesuai.
“Err… kenapa ya dengan orang ini, Tuan?” soal Shah.
“Jadi kamu kenal dengan orang ini? Dia berkerja di hotel ini?” soalan Shah tidak dijawab,  lelaki botak itu menyoal pula.
“Tiada staf bernama Hapipie di hotel ini, tuan. Di mana tuan jumpa nametag ini?”
“Tiada staf bernama Hapipie di sini?” masih juga tidak menjawab soalan Shah
“Ya…err, mungkin porter di hotel lain, Tuan. Memang ada banyak hotel di Tawau ni, Tuan. Tuan boleh cari orang ini di situ kah.”
“Hapipie? Ya, ada. Baru sahaja saya lihat dia di tandas lobi,”
Serentak Shah dan lelaki botak itu berpaling memandang Julian yang sedang menunjuk ke arah tandas di bahagian belakang kepada dua orang penggiring lelaki botak tadi. Shah tergamam mengetap bibir memandang Julian yang tidak tahu apa-apa. Lelaki botak itu membuka kaca mata hitamnya dan memandang tajam pada Shah.
“Err… Err… Mungkin itu staf bernama Hapipie yang baru di ambil berkerja hari ini,” katanya menelan liur melihat lelaki botak itu mendengus. Bagaikan aksi di dalam filem, tiga lelaki bersut hitam itu segera mengatur langkah ke tandas yang di tunjukkan oleh Julian. Shah segera menampar lengan Julian.
”Yang kau gatal mulut bagitau diorang di mana Hapipie itu kenapa?!!”
“Ha? Tidak boleh kah? Kenapa?
“Tiga orang yang cari Hapipie, kau nda nampakkah dorang itu macam geng mafia? Kenapa kau nda cakap saja yang kau nda kenal si Pie? Apa lagi masalah si Hapipie ni. Ya Tuhan… Matilah dia kalau di tangkap oleh diorang tu!”
“Ha? Yakah? Alaa… Aku tak tahu…”
Shah  terjengket-jengket mengintai ke arah tandas lobi yang kecoh. Kemudian tiga lelaki tadi melangkah keluar dengan wajah marah. Tidak pula kelihatan Hapipie bersama mereka. Lelaki botak tadi pantas meluru ke arah Shah dan menarik kolar baju Shah.
“Kamu memang kenal dengan budak ini kan?! Beritahu kami di mana dia?!! Dia sudah ambil ‘sesuatu’ milik kami!!” lelaki botak itu dengan suara mengancam menyoal Shah. Julian terlompat-lompat panik melihat Shah yang kurus itu hampir tercekik.
“Sa.. Saya... Saya tidak tahu… Dia... Dia bukan… Bukan kawan kami…” suara Shah tergagap. Kawasan lobi menjadi tegang apabila tiga lelaki bersut itu bersiap siaga mahu menyerang Shah dan Julian. Mujur Pak Salim, security guard yang bertugas hari itu datang mententeramkan keadaan.
“Encik, tolong jangan buat hal di sini. Jika tidak, saya akan ambil tindakan!” kata Pak Salim sambil mengenggam erat kayu cotanya. Shah menelan liur gerun. Dia tahu tiga lelaki itu tidak berasa takut pun dengan amaran Pak Salim yang sudahlah berumur 69 tahun yang bertubuh kurus kering. Ketiga-tiga mereka memandang tajam pada Pak Salim yang kelihatan tidak gentar berdepan dengan lawan yang lebih muda dan sasa.
“Jika encik tidak lepaskan dia, pihak hotel akan hubungi polis,” kata Pak Salim lagi dengan berani. Barulah lelaki botak itu melepas cengkamannya pada kolar baju Shah. Julian yang sudah berhenti melompat-lompat segera menuju ke arah Shah yang terduduk di lantai cuba menarik nafas dengan betul. Ketiga-tiga lelaki bersut hitam itu saling berpandangan, bagaikan mencapai persetujuan untuk tidak membiarkan hal ini sampai ke pengetahuan pihak polis. Sejurus kemudian mereka bertiga berlalu keluar menuju ke Bently mereka. Pak Salim pula kelihatan berbincang sesuatu dengan receptionist, mungkin untuk menenangkan keadaan genting tadi sebelum melangkah kembali ke arah Shah dan Julian.
“Shah! Shah kau okay kah?” Julian membantu sahabatnya itu berdiri. Shah mengerang kecil sambil mengurut-urut leher.
“Okay lah…syukur dia inda cekik kuat-kuat. Kalau tak, patahlah leher kurus aku.”
“Shah, pakcik mau buat laporan pasal hal ini di logbook, nanti kau pergi security post sana ya,” kata Pak Salim sambil menepuk-nepuk bahu Shah.
“Baik Pak Salim. Hebatlah Pak Salim tadi, inda nampak takut pun sama tiga orang badan besar tadi,” sempat lagi Shah memuji.
“Sebagai pak guard, biarpun takut sebenarnya, kita mesti berpura-pura tidak takut. Barulah lawan ada sikit gentar sama kita,” selamba Pak Salim menjawab. Shah dan Julian angguk mengiyakan sahaja. Shah kemudiannya bagaikan teringat sesuatu.
“Oh ya, Pak Salim, ada nampak kah si Hapipie di CCTV tadi?”
“Hapipie? Ada tadi dia keluar sudah dari bangunan hotel pakcik tengok. Kenapa dia itu? Macam takut saja?”
Shah diam tidak bersuara. Dia dan Julian saling berpandangan.
“Hapipie dalam bahaya.”

*
Daun pintu dikuak perlahan. Dia menjengukkan kepala sedikit di muka pintu memerhati kawasan sekeliling rumah, cuba memastikan tiada sesiapa yang tidak dikehendaki di situ. Setelah berpuas hati, dia melangkah keluar sambil menggalas begnya yang kembung. Pintu rumah di kunci dan topi keledar yang memang di letakkan di tepi pintu dicapai. Dia mesti selesaikan hal itu secepat mungkin kerana keadaan nampaknya semakin genting malah semakin bahaya. Mujur ibu dan adik-adiknya sudah pulang ke kampung pagi tadi. Mereka akan selamat di sana. Buat masa ini dia ada ‘tanggungjawab’.
Dia melangkah ke arah motor hitam yang dipinjamnya dari sepupunya, Dion. Sejak sepupunya  membeli kereta baru, dia  jarang menggunakan motor lagi. Mudah sahaja dia dapat kebenaran meminjam motor Dion. Di pandang seketika motor itu. Fobianya terhadap motor masih ada sebenarnya. Namun keadaan membuatkan dia terpaksa melawan fobia tersebut. Sebelum memakai topi keledar, sempat lagi dia menadah kedua tapak tangan, membaca doa menaiki kenderaan, memohon perlindunganNya. Namun, belum pun sempat dia menyarung topi keledar itu, dup! Satu hentakan kuat terasa di kepalanya. Dunia terasa pusing. Mungkin juga dia patut membaca doa selamat tadi. Lalu dia rebah ke tanah, pengsan.
*
“Lain di suruh, lain kau buat! Yang kau hentak kepala dia kuat-kuat tu kenapa?”
“Kau juga yang cakap kan, kita serang hendap dia, lepas tu baru kita soal siasat dia.”
“Serang hendap maksud aku tu, kita tangkap dia dari belakang, jangan sampai dia lari. Bukannya serang pukul. Apalah kau ini, sampai pengsan bah si kawan kau buat begitu.”
“Yalah… Sorry lah, kau tahukan aku masa kecil pernah demam panas, jadi lembab sikit otak aku ni mahu faham cakap orang.”
“Diamlah!! Dia sudah sedar itu.”
Perlahan-lahan Hapipie membuka kelopak matanya. Dilihat olehnya wajah Shah dan Julian sedang berdiri di hadapannya. Kepalanya masih berdenyut-denyut. Dia cuba berdiri, namun tidak berjaya. Nampaknya Shah dan Julian sudah mengikatnya di kerusi itu.
“Aku kat mana ni...” soal Hapipie perlahan. Shah dan Julian berpandangan dan mengangguk serentak.
“Pie, aku mahu kau berterus terang dengan kami petang ini juga. Kau ada mencuri barang orang lain kah?” Hapipie tercengang-cengan mendengarkan soalan Shah itu.
“Tidak…”
“Jadi… Kau ada terlibat dalam mana-mana sindiket syabu kah? Kau sudah pandai ambil itu barang kah? Mengaku Pie…”
“Astagfirullah… Tidak…”
“Habis itu, kenapa sampai ada tiga mafia cari kau di hotel tadi? Dorang cakap kau sudah ambil barang dorang. Nampak samseng betul dorang itu? Siapa juga dorang tu? Dorang itu pengedar dadah kah Pie? Atau kau sudah pinjam duit Along ni, Pie? Ya ampun Pie… Jangan kau begitu bah… Kau inda kasihan sama ibu mu kah?” Shah terus-terusan berceramah di hadapan Hapipie yang masih berkerut dahi kesakitan.
“Aku tidak buat kerja begitu, kawan. Sumpah!”
“Habis tu apa? Kami tengok kau ni macam simpan rahsia dari kami bah. Macam kau inda anggap kami kawan kau tau kah? ”
Hapipie terdiam. Terasa bersalah membuatkan sahabat-sahabatnya sampai berfikir demikian. Mungkin inilah masanya dia berterus terang sahaja.
“Okaylah, aku kasih tahulah kenapa aku berahsia.”
Bah... Cakaplah… Buruk baik kau, kami sebagai sahabat tidak akan buang kau,” ayat Shah itu membuatkan Hapipie tertawa kecil. Dia menarik nafas panjang dan memandang Shah dan Julian.
“Okay, lepaskanlah aku dulu, baru aku bawa kamu ke satu tempat.”

*

Shah dan Julian bagai tidak percaya dengan apa yang dilihat mereka. Mereka berdiri terkaku di tempat masing-masing dengan mulut separuh terlopong. Sebentar tadi Hapipie telah membawa mereka ke sini, ke pondok kecil yang terletak di tepi padang bola. Pondok itu jika dilihat sekali lalu sahaja memang tidak jelas kerana terlindung di balik batang pokok ketapang yang rendang . Mereka berdua merasa bagaikan sedang membintangi sebuah filem sains-fiksyen, di mana seorang sahabat mereka rupa-rupanya menyembunyikan seekor makhluk asing yang berkulit kuning langsat. Makhluk itu mempunyai fizikal yang hampir menyerupai manusia, cuma ia memiliki mata bujur yang besar yang sedang terpejam rapat, telinga yang runcing di hujung, tidak mempunyai bibir selain garisan mulut sahaja, mempunyai dua sesunggut bagaikan antenna di bahagian dahi dan ketinggiannya cuma satu meter.
Mereka berdua cuma mendiamkan diri mendengar cerita Hapipie bagaimana dia menemui makhluk asing itu terdampar cedera di tepi jalan berdekatan jalan airport lama, bagaimana dia dikejar oleh lelaki bertiga yang datang ke hotel tadi sewaktu cuba menyelamatkan makhluk itu, dan bagaimana dia terpaksa menyembunyikan makhluk itu di pondok tersorok ini.
“Aku mahu minta maaflah sama kau Pie. Macam-macam prasangka buruk sudah ada dalam fikiran aku pasal kau, rupa-rupanya kau terpaksa menghadapi masalah tamu asing ini,” kata Shah mengatur kata. Hapipie cuma tersenyum dan menepuk-nepuk bahu Shah, isyarat yang dia tidak ambil hati. Julian yang masih diam mendekati makhluk yang kelihatannya sedang lelap itu perlahan-lahan. Di perhatikannya secara lebih dekat sebelum dia mengelengkan kepala.
“Kenapa lagi kau ni?”
“Macam tidak percaya woo… seingat aku kan, alien suka mendarat dekat bahagian-bahagian Amerika sana. Rupanya ada juga alien mau tersesat di Tawau ni ya,” kata Julian dengan wajah kagumnya.
“Itulah kau, percaya betul bah sama filem-filem Hollywood itu, senang betul kau ni kena brainwash,” gerutu Shah, namun Julian nampaknya tidak ambil peduli, dia kini sedangcuba mengambil gambar makhluk itu dengan kamera telefon bimbitnya. Hapipie menegah lembut.
“Tiga orang lelaki yang bersut hitam tadi aku rasa sedang mencari alien ini, tidak tahulah kenapa…” luah Hapipie. Shah mengigit bibir berfikir seketika.
“Siapa sebenarnya tiga orang tu ya? Macam mafia pun ada, macam bodyguard pun ada, macam ejen rahsia pun ada. Tapi kan Pie, bukan si alien ni saja yang dalam bahaya. Kau pun dalam bahaya juga tahu. Itulah kami cepet-cepat tangkap kau sebelum dorang tahu di mana kau tinggal,” katanya. Hapipie terdiam sebentar. Dia merenung makhluk yang masih belum sedar itu. Kepalanya terangguk-angguk sedikit sebelum dia memandang Shah.
“Kita mesti tolong alien ini balik ke tempat asalnya semula,” ujarnya dengan nekad.
“Bagaimana?” sampuk Julian pula. Hapipie tidak menjawab apabila makhluk asing itu bergerak-gerak. Perlahan-lahan ia duduk dari baringnya sambil mata besarnya terkebil-kebil memandang Shah dan Julian. Julian kelihatan kaget sedikit sehinggakan dia terpeluk lengan Shah tanpa sedar.
Please don’t eat us… Please don’t eat us…”
“Jangan risau, ianya bukan merbahaya,” terang Hapipie. Makhluk asing itu memandang pula ke arah Hapipie. Sesunggutnya bergerek-gerak menyentuh lengan Hapipie. Lelaki itu cuma tersenyum seraya berkata.
“Mereka berdua okay. Kawan baik saya…” berkerut dahi Shah melihat Hapipie berkata-kata seolah makhluk asing itu memahaminya.
“Kau faham kah apa dia cakap? Aku tidak dengar pun suaranya?”
Namun persoalan itu bagaikan terjawab apabila Shah melihat perlakuan makhluk asing itu yang menyentuh Hapipie dengan sesungutnya setiap kali ingin berkomunikasi. Mungkin makhluk ini ada kuasa telepati melalui sentuhan. SubhanAllah, dia mesti membantu usaha Hapipie menyelamatkan makhluk asing itu dari terus menjadi buruan. Teringat pesanan Ustaz Romzi bahawa membantu sesame makhluk adalah amalam mulia.
“Pie, kau tengok macam alien ni berkomunikasi menggunakan telepati bah. Cuba kau tanya dimana dia mendarat. Tentu spaceshipnya ada di situ. Bolehlah dia kembali ke tempat asalnya,” Shah mencadangkan. Hapipie menepuk dahi tiba-tiba.
“Astagfirullah… Kenapalah aku inda terfikir ya? Huru-hara bah fikiran ku semalam sebab alien ni masih lagi lemah sebab cedera kan… Tapi ada betulnya idea kau tu,” lalu dengan suara yang terang dan jelas (supaya makhluk itu memahaminya), Hapipie bertanyakan tentang hal itu. Buat seketika makhluk itu cuma terkebil-kebil sebelum sesunggutnya menyentuh perlahan lengan Hapipie. Shah dan Julian melihat Hapipie terangguk-angguk bagai memahami entah apa yang di maksudkan oleh makhluk itu. Dengan senyuman Hapipie memandang kearah mereka.
“Katanya dia di serang sewaktu kapalnya terbang melintasi kawasan berdekatan airport lama itu, mungkin oleh tiga lelaki tadi. Kapalnya rosak teruk sewaktu terhempas, tapi dia sempat minta bantuan dari kapal induknya. Sekarang dia mesti kembali ke tempat kapalnya terhempas kerana di situ bantuan akan datang.”
“Di mana kapalnya terhempas? Kau terjumpa dia berdekatan jalan airport lama kan? mungkin kapalnya juga ada berdekatan situ,”
Bah, apa kita tunggu lagi? Jom kita gerak sekarang, nanti tiga mafia tadi datang serang hendap kita pula,” selesai sahaja Julian mencadangkan, kedengaran bunyi kenderaan berhenti di luar pondok. Serentak mereka bertiga menjenguk dari balik pintu pondok dan terlihat oleh mereka kereta Bently baru berhenti bersebelahan dengan motor sepupu Hapipie dan motor abang Julian.
“Panjang betul umur… Baru disebut-sebut. Mungkin dorang ni memang ejen rahsia bah. Kau tengoklah, tahu saja dorang di mana mau cari kita.”
“Mulut kau tu yang masin bah Julian, huh!”
“Eh, jangan bising. Jom kita keluar senyap-senyap dari sini…” bisik Hapipie. Shah dan Julian mengangguk. Bagai melakukan drama bisu, Hapipie mengangkat makhluk asing itu, sementara Shah menggalas beg yang dibawa tadi dan Julian mengangkut topi keledar mereka. Berjengket-jengket mereka melangkah keluar dari pintu yang lagi satu.
“Bukan ada jalan pintaskah dari padang ni terus sampai ke airport lama tu?” soal Shah dengan nada berbisik sambil memerhati langit yang semakin gelap. Hapipie cuma mengangguk. Dia memandu arah sambil mendukung makhluk asing itu cuba melalui semak agar tidak kelihatan oleh tiga lelaki yang sudah keluar dari kereta Bently itu. Pada mulanya operasi melarikan diri secara senyap-senyap itu hampir berjaya jikalau bukan secara tiba-tiba telefon bimbit Julian tiba-tiba berdering, melagukan lagu Jay Chou.
“Bos, mereka di balik semak itu!”
Time genting juga handphone kau mau bunyi bah!” marah Shah kerana kedudukan mereka diketahui.
“Kejar mereka! Tangkap hidup-hidup makhluk asing itu!!” kedengaran lelaki botak memberi arahan. Serentak lelaki bertiga itu menyeluk ke dalam jaket sut masing-masing dan mengeluarkan sesuatu yang begitu mengejutkan Hapipie, Shah dan Julian.
“Uii! Dorang ada pistollah!”
“Lari! Lari cepat!!!”
Terkocoh-kocoh tiga sahabat itu cuba untuk lari sebaik sahaja melihat pistol di tangan tiga lelaki bersut itu.
Bang!!
Kedengaran bunyi das tembakan pertama membelah lewat petang itu. Hapipie mendukung erat makhluk asing tadi sambil membuka langkah seribu ke arah jalan pintas menuju ke tapak airport lama. Shah mengekori dari belakang. Julian yang terkejut mendengar bunyi tembakan tadi menjadi panik akibat ketakutan, lalu secara spontas melontar salah satu helmet yang dipegangnya ke arah tiga lelaki bersut yang mengejar. Lontaran itu tepat kena pada muka salah seorang dari mereka. Terbaring dan lelaki tersebut tidak sedarkan diri.
“Padan muka… Dorang tidak tahu bahaya kalau buat si Julian panik,” sempat lagi Shah bergumam.
            Langit yang semakin gelap tidak menghalang dua lelaki bersut hitam itu terus mengejar tiga sahabat dalam usaha menyelamat itu. Beberapa kali tembakan di lepaskan ke arah mereka, mujur tersasar. Mungkin penduduk kampung berdekatan terkejut mendengar  bunyi tembakan malam-malam begini. Julian cuba untuk melontar lagi sebuah topi keledar seperti tadi, namun kali ini balingannya gagal apabila lontaran itu tersasar.
            “Woi, itu helmet pakcik aku!”
            Sorry… Mungkin kalau aku panik baru boleh jadi sharpshooter.”
            “Cepat!!!”
            Mereka bertiga sudah masuk ke dalam kawasan tapak airport lama. Langit malam tanpa sinar bulan itu menyulitkan penglihatan.
            “Hoi, jangan lari! Kalau tidak aku tembak kamu bertiga!” teriak si lelaki botak, mungkin geram kerana terpaksa berlari mengejar sahabat bertiga itu.
            “Eleh… macamlah dia nampak dalam gelap-gelap ini.”
            “Diam dulu Julian, Pie, sekarang tanya alien itu tempat kapalnya terhempas! Cepat!” Hapipie menurut lalu bertanyakan lokasi yang lebih tepat lagi. Makhluk asing itu terkebil-kebil melekapkan sesunggutnya, menjawab melalui telepati.
            “Sini!”
            Dalam kepekatan malam Shah dan Julian berlari mengekori Hapipie. Sehinggalah mereka tiba di satu kawasan berumput. Hapipie mengangguk pada Shah.
            “Julian, minta dulu handphone kau.”
            “Ha? Handphone aku mana ada kredit Shah.”
            “Bagi sajalah! Aku bukan mahu buat call, mahu pinjam lampu suluhnya saja,” dengan berat hati Julian menghulurkan telefon bimbit yang mempunyai fungsi lampu suluh itu. Shah segera menyuluh ke kawasan berumput tadi. Terdapat kesan terbakar di rumput itu dan tidak jauh dari situ terdapat bangkai kapal makhluk asing tadi yang sudah hangus.
            “Ya, di sinilah tempatnya,” kata Shah sambil memegang telefon bimbit Julian tinggi-tinggi untuk menerangi kawasan setempat itu.
            “Kata alien ini, bantuan akan tiba sebentar lagi,” beritahu Hapipie pula.
            “Kalau lelaki-lelaki tadi dapat tangkap kita duluan macam mana?” Julian menyoal.
            Bang!!!
Telefon bimbit Julian yang dipegang Shah hancur berkecai, terkena bidikan lelaki botak tadi. Mujur tangan Shah tidak apa-apa. Manakala Julian sudah terlopong dengan penuh dramatik melihat telefon bimbit kesayangan menjadi mangsa tembakan. Keadaan kembali gelap.
            “Jangan sesiapa bergerak!”
            Sejurus kemudian lelaki botak tadi dan rakannya menyalakan lampu suluh mini yang entah muncul dari mana. Suasana kembali terang dan tiga sahabat itu berdiri kaku di tempat masing-masing, jantung berdegup kencang melihat dua muncung pistol di halakan pada mereka.
            “Sekarang, serahkan makhluk asing itu kepada kami,” dengan nada jelas dan tegas lelaki botak itu memberi arahan. Hapipie dan Shah saling berpandangan, Julian masih menangisi ‘pemergian’ telefon bimbitnya. Hapipie dan Shah saling membuat isyarat apa yang patut mereka lakukan sekarang. Mereka bagaikan tiada jalan keluar lagi.
            “Cepat! Jangan bertindak bodoh, serahkan makhluk asing itu!”
            “Kenapa korang mahu sangat dengan alien ini hah? Dia bukan ada buat salah dengan kamu pun!” Hapipie tiba-tiba membentak.
            “Jangan banyak cakap budak. Kau tidak tahu apa-apa,” dalam suara lelaki botak menjawab. Muncung pistol tidak lepas di halakan pada Hapipie.
            “Aku tahu, korang yang serang kapal makhluk asing ini kan? Sebab itulah ia tercedera. Eh, korang tidak malukah berlaku kejam sesama makhluk? Balasannya amat berat tahu? Lebih-lebih pada makhluk yang tidak berdaya macam alien ini, korang sepatutnya berkasih sayang sesama makhluk, barulah dunia ini akan aman damai. Perbuatan serupa ini sangatlah kejam dan zalim, kamu sepatutnya  malu… Malu… Malu…” penuh perasaan Hapipie cuba memberi ceramah. Shah tahu niat Hapipie adalah untuk melengahkan masa sementara menunggu bantuan makhluk asing itu tiba, namun dia sendiri terasa hampir ketawa melihat cara Hapipie itu. Lelaki botak dan rakannya saling berpandangan. Mungkin mengutuk Hapipie dalam hati.
            “Budak, kalau kau mahu berceramah, kau cari orang lain. Serahkan makhluk asing itu cepat! Sebelum aku tembak kau betul-betul!!” lelaki botak tadi sudah mula mengertak. Hapipie menelan liur, namun segera dia memberanikan diri.
            “Tembaklah kalau kamu berani, kalau aku kena tembak, makhluk asing ini pun akan kena juga. Bukankah kamu mesti bawa pulang makhluk asing ini hidup-hidup? Hah… Mengamuklah bos kamu nanti…” nampaknya kata-kata Hapipie itu memberi impak kepada dua lelaki bersut hitam itu. Kini, mereka bagaikan teragak-agak. Hapipie dan Shah saling berbalas senyum dalam diam. Sesekali Shah mendongak ke langit, kalau-kalau bantuan sudah tiba. Namun yang menyapa pandangan hanyalah langit ditaburi bintang.
            “Okay... Okay… Begini… Berapa duit kamu mahu? Kami boleh bayar dan serahkan makhluk asing itu, okay?” lelaki botak nampaknya cuba membuat perundingan.
            “Kamu ini siapa sebenarnya? Beriya-iya hendakkan makhluk ini? Kamu sindiket haram ya? Ataupun ejen rahsia? Kamu jangan buat hal di tempat kami, kami lapor dengan polis, tahulah kamu nanti.”
            Akhirnya, mungkin akibat bosan melayan karenah Hapipie, lelaki botak memberi isyarat kepada rakannya, yang mana sepantas kilat berjaya menarik Julian lalu menyilangkan tangan Julian kebelakang sambil mengacukan muncung pistol di pelipis Julian.
            “Julian!!!”
            “Sudah! Kalau mahu kawan kamu selamat, cepat serahkan! Aku sudah hilang sabar ini!!!” pekik lelaki botak itu 
            “Tolong aku kawan… Tolong aku kawan...” kedengaran suara Julian yang menggigil ketakutan.
            “Tenang Julian, bantuan akan sampai… Bantuan akan sampai…”
            “Jangan banyak cakap aku kata… Jangan berlengah! Bagi sini makhluk asing itu!!!”
            “Lepaskan kawan kami dulu, botak! Kalau tidak aku pula yang tembak kepala botak kau itu! Aku pun sudah hilang sabar ini!!” nampaknya Shah pula sudah dirasuki amarah melihatkan sahabat mereka menjadi tebusan. Dia menghempaskan beg yang digalasnya tadi ke tanah sebelum mendengus marah memandang dua lelaki bersut hitam itu.
            “Eh, budak ni…”
            “Bunuh saja dia bos, senang sikit kerja kita.”
            Lelaki berkepala botak itu bagaikan menyetujui cadangan rakannya, dia menghalakan muncung pistol ke arah Shah, bersedia menarik picu. Dalam masa yang sama Shah yang di kuasai perasaan marah itu, meluru laju ke arah si lelaki botak, mungkin bertujuan menerkamnya.
            “Jangan Shah!!!”
            “Mampus kau!!”
            Bangg!!!
            Senyap.  Julian yang memejam mata kerana tidak sanggup melihat sahabatnya di tembak, Perlahan-lahan membuka mata. Hari ini penuh dengan perlbagai kejadian pelik bagi mereka. Lelaki botak yang mengacukan pistol ke arah Shah bagaikan kaku di udara. Malah bukan lelaki botak itu sahaja, rakannya yang mengunci tangannya turut sama kaku tidak bergerak. Shah yang berada dalam aksi mahu menerkam juga sama.
            “Apa dah jadi? Apa dah jadi?” soal Julian sambil memandang Hapipie yang turut kebingungan melihat fenomena itu. Makhluk asing yang sejak dari tadi senyap menjadi pemerhati, melekapkan sesunggutnya ke lengan Hapipie, ingin memberitahu sesuatu. Hapipie terdiam lantas mendongak ke langit malam.
            “Mereka sudah sampai!!!”
            Nun di atas mereka, beberapa batu di atas sana, kelihatan sesuatu yang sukar di bayangkan. Ianya hampir menyerupai kapal angkasa yang mereka biasa tontoni dalam filem-filem sains-fiksyen. Sangat besar dan mempunyai lampu-lampu berkelip seperti yang selalu terdapat pada kapal terbang yang berlepas pada waktu malam. Hapipie dan Julian terkesima melihatkan kapal itu. Julian yang berusaha melepaskan dirinya dari terus menjadi tawanan si lelaki botak tadi, turut sama memandang kapal angkasa itu. Makhluk asing tadi berbunyi nyaring, seolah gembira melihat rakan spesisnya datang menyelamat.
            Woah... Woah…ini memang inda logik, tapi jadi depan mata aku,” Julian bergumam. Hapipie terangguk-angguk.
            “Alien ini bagitahu, bangsanya yang membekukan Shah dan dua penjahat itu buat seketika. Itu salah satu kebolehan bangsa mereka. Alhamdulillah, jika tidak, tentu kita sudah kehilangan Shah,” ujar Hapipie memberitahu Julian. Kemudian dari tengah kapal angkasa yang terapung itu, tersuluh satu cahaya dan seekor lagi makhluk asing turun mendarat. Hapipie dan Julian sekali lagi terlopong. Makhluk asing di dalam pangkuan Hapipie kedengaran berbunyi nyaring melihat rakan spesisnya. Rakannya juga membuat bunyi yang sama. Mungkin itu cara mereka berkomunikasi. Julian mendekati lelaki kepala botak yang kaku tidak bergerak, sibuk tangannya mencari dompet lelaki itu. Di belek-beleknya dan terjumpa sekeping kad.
            “Rupanya tiga lelaki ini adalah ejen satu pertubuhan rahsia, aku macam pernah terbaca pasal pertubuhan ini di internet. Eh! bukankah ini pertubuhan yang dikhabarkan sering menutup bukti pendaratan makhluk asing ke bumi? Ooo... Patutlah mereka serang kapal makhluk asing ini. Uiii... Jahatnya ini orang,” Julian menggeleng-geleng sambil melihat wajah lelaki botak yang menyeringgai itu. Hapipie mendengus perlahan. Dia menurunkan makhluk asing itu dari dukungannya. Di tatapnya wajah makhluk yang memang asing itu.
            “Sekarang, pulanglah ke tempat asalmu. Aku memohon maaf jika ada bangsa ku yang menyakiti bangsa kamu,” kata Hapipie. Makhluk itu kelihatan seolah sayu sambil menyentuh Hapipie. Mungkin sedih kerana terpaksa berpisah dengan Hapipie yang baik hati dan sudi melindunginya itu. Julian tidak pasal-pasal tersedu-sedu melihat babak perpisahan itu.  Rakan kepada makhluk asing tadi bergerak perlahan ke arah Shah yang masih beku itu. Perlahan sesungutnya di sentuh pada kaki Shah, dan sesaat kemudian Shah jatuh berdebuk di atas tanah sambil menjerit-jerit.
            “Rasakan penumbuk tanpa bayang aku ini!!!” kemudian Shah tercengang-cengang di situ melihat sekeliling, malah terlopong besar pula melihatkan kapal angkasa terapung di atas mereka. Dia memandang Julian untuk meminta penjelasan, namun sahabatnya itu masih tersedu-sedu. Buat kali terakhir makhluk asing itu melekapkan sesungutnya di lengan Hapipie. Lama. Mungkin berpesan sesuatu. Hapipie Cuma mengangguk.
            Kini tibalah waktu perpisahan. Bergandingan dua makhluk asing itu berdiri di tengah suluhan lampu kapal tadi dan perlahan-lahan mereka terapung naik ke kapal angkasa. Hapipie mengigit bibir menahan sebak, sementara Julian sudah teresak-esak sambil melambai-lambai dan Shah terpaksa menenangkannya. Sepantas kilat kapal angkasa itu meluncur laju membelah langit malam, pulang ke galaksi mereka. Suasana kembali sunyi. Tiga sahabat itu masih berdiri merenung langit.
            “Sedih pula bah…” getus Shah perlahan.
            “Aku pun…sudahlah handphone aku kena tembak…kuranglah gaji bulan depan mau beli handphone baru”
            Korang rasa… Kalau aku tulis skrip pasal pengalaman kita ini, mahu tak Steven Speilberg ambil jadikan filem?” Hapipie menyoal sambil senyum nipis. Shah dan Julian memandangnya tanpa riak.
            “Mungkin...”
            “Jadi, apa kita mahu buat sama tiga penjahat ni? Mereka memang tidak akan bergerak sampai bila-bilakah?” soal Julian. Hapipie tersenyum.
            “Alien tadi sempat berpesan, mereka akan kembali seperti biasa dalam beberapa jam lagi. Dan alien itu ada buat sedikit pengubahsuaian pada memori mereka. Mereka tidak akan ingat apa-apa tentang kejadiaan ini,” jawabnya. Wajah Shah berseri-seri.
            “Tidak ingat apa-apa? Langsung?”
            “Ya… Jangan over pulak…”

*
            Esoknya Tawau gempar dengan penangkapan tiga lelaki yang mencurigakan kerana berbaju kurung di tapak airport lama, malah tiga lelaki itu berkeras mereka bukan sepatutnya berada di daerah ini. Dan lebih menghairankan bagaimana mereka boleh berada di sini. Ianya turut dimuatkan ke dalam akhbar tempatan. Di pintu Hotel Heritage, dua sahabat terkekeh-kekeh sambil memegang surat khabar hari ini.


Sekian…
           


Khamis, 15 Ogos 2013

Bagaimana Aku Menjadi Raja




Keuriositi itu cumalah kedai buku terpakai yang biasa-biasa sahaja. Susun aturnya pun tidak lah semoden mana. Rak-rak kayu yang tinggi sehingga mencecah siling dan dipenuhi dengan buku terpakai Cuma bercatkan varnis, itu pun dicat berkali-kali agar tidak kelihatan buruk. Keseluruhannya kawasan dalam kedai itu memang sempit. Tidak sesuai jika pelanggan yang berkunjung mahu berlama-lama di situ. Paling tidak pelanggan mungkin akan mengambil masa 15 minit sahaja. Memilih buku yang diinginkan, bayar di meja kaunter kecil di sudut kedai dan berlalu keluar.
            Chals merupakan satu-satunya pekerja di Keuriositi itu merasakan ada sesuatu yang ganjil hari ini. Empat pelanggan lelaki yang datang sejak sejam yang lalu masih berlegar-legar di dalam kedai sempit itu. Tidak seperti pelanggan yang lain, mereka cuma menyentuh kulit buku dengan hujung jari sambil mencuri lihat ke arahnya. Lebih mencurigakan Chals apabila lelaki-lelaki itu kelihatan seragam. Kesemuanya berpakaian sut hitan. Salah seorang daripada mereka, yang kelihatan paling besar, berkepala botak. Sesekali pandang bagaikan geng mafia sahaja Chals lihat. Adakah geng mafia dia Malaysia ini?
            "Mana bos ini?" gumam Chals sendirian. Terasa gerun pula apabila melihat renungan empat lelaki itu. Berkali-kali Chals mengerling ke arah pintu kedai, mengharap kemunculan majikannya. Katanya Cuma hendak keluar sekejap membeli makan tengahari, tetapi sudah berpergian hampir dua jam.
            Chals menutup buku tulisan Enid Blyton yang dibacanya sejak dari tadi. Ketika dia berdiri, secara tiba-tiba empat lelaki tadi terus menerpa ke arahnya. Chals tidak sempat untuk bersuara apabila salah seorang dari mereka mencengkam kolar bajunya.
            “Mahu lari ke mana? Kau tidak akan terlepas kali ini!” kata lelaki itu dengan suaranya yang menderam. Chals meronta sambil cuba meleraikan cengkaman kuat di kolar bajunya.
            “Apa ini encik?” soalnya dalam kepayahan bernafas. Kepalanya ligat berfikir mengapa dia di serang oleh lelaki-lelaki ini. Dia tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa, malah berhutang dengan lintah darat pun tidak pernah. Paling tidak baru tiga bulan lepas dia membeli kipas baru secara ansuran, tetapi setiap bulan dia pasti membayar tepat pada waktunya.
            “Kami sudah kepung kau! Habislah kau kali ini!”
            “Kita belasah sahaja dia!”
            “Jangan, bos arahkan kita menangkap dia sahaja. Nanti kita pula yang kena kalau budak ini pengsan,”
            “En..encik! ap..apa salah saya?” hampir menangis Chals meluahkan soalan itu. Seluruh tubuhnya menggeletar.
            “Banyak salah kau! Sekarang kau mesti ikut kami, Rulupin!”
            Chals berhenti meronta-ronta. Terkebil-kebil dia memandang lelaki botak yang mencengkam kolar bajunya. Kemudian dia berkata dengan jelas,
            “Encik sudah salah orang ini,’
            “Amboi, bila nyawa sudah di hujung tanduk pandai pula hendak mencipta dalih ya? Kau tidak akan terlepas, Rulupin,” gertak si botak.
            “Kami sudah buat risikan, Keuriositi ini kepunyaan Rulupin, dan sejak dari tadi hanya kau sahaja yang duduk di kaunter itu! Jangan hendak menipu lagi!”
            “Saya tidak cakap bohong, encik…kalau tidak percaya periksalah kad pengenalan dalam dompet saya. Tapi kalau boleh janganlah ambil duit di dalam itu ya, itu sahaja budget makanan saya untuk bulan ini,” ujar Chals bersungguh.
            “Banyak cakap pula dia ini. Cepat, periksa dompetnya. Kalau dia sengaja berdalih, tahulah dia nasibnya!” arah si botak. Kocek seluar Chals digeledah kasar, dan dompetnya di periksa. Empat lelaki bersut hitam itu terdiam sambil berpandangan sesama sendiri.
            “Hah…saya tidak berdalih bukan? Saya Chals, bukannya Rulupin,” kata Chals senyum lebar. Namun senyuman itu hilang sebaik melihat wajah bengis lelaki-lelaki di hadapannya itu. Cengkaman di kolar baju dileraikan. Chals ditolak sehingga jatuh terlentang di lantai.
            "Kalau kau bukan Rulupin, apa yang kau buat di sini? Mana Rulupin?!" melengking suara si botak menyoal sambil menggenggam penumbuk.
            "Saya cuma pekerja sahaja di sini, encik. Tolonglah jangan apa-apakan saya, encik" jawab Chals. Keringat sudah membasahi pipinya. Tangannya sudah berasa sejuk. Adakah dia akan cedera parah dikerjakan oleh empat lelaki seperti mafia ini?
            "Penghantaran pizza!"
            Suara itu menyebabkan mereka serentak berpaling memandang ke pintu kedai. Seorang gadis bertudung hitam, memegang kotak pizza berdiri di situ.
            “Tiada orang pesan pizza di sini. Cepat pergi!” herdik salah seorang dari lelaki bersut hitam itu. Sementara mulut Chals bergerak-gerak tanpa mengeluarkan sebarang bunyi sambil memandang gadis itu dengan terdesak.
            “Eh? Iya? Tetapi tadi ada seorang kakak sudah bayarkan untuk pizza ini dan arahkan kami hantarkannya ke kedai ini. Kedai…Keuriositi…ya, kedai Keuriositi. Nah,’ jawab gadis itu sambil menghulurkan kotak pizza sederhana besar itu. Kenaifannya tidak dapat mengesan kekasaran sedang berlaku dalam kedai itu. Sedikit pun tidak gentar melihat ketrampilan empat lelaki ala mafia itu. Sesekali dia memandang Chals sekilas.
            “Pergi…pergi, aku cakap!”
            Namun gadis penghantar pizza itu masih tidak berganjak. Terkebil-kebil dia memandang empat lelaki itu, lebih kepada lelaki botak yang mungkin ketua di antara mereka.
            “Jadi, di mana harus saya letak pizza ini?” soalnya pula sambil mata meliar ke sekiling kedai. Chals masih memandang gadis itu dengan penuh pengharapan.
            “Eh, budak…aku ini jenis yang tidak akan pukul perempuan. Tetapi kalau kau tidak berambus dari sini sekarang, jangan salahkan aku jika aku belasah kau nanti!” si botak sudah mengugut. Sambil menarik nafas dalam-dalam dan menunjuk ke arah Chals, gadis itu menyoal dengan nada berbisik,
            “Encik sekalian ini hendak pukul dia itu kah? Kenapa, encik? Dia tidak bayar hutang, kah?”
            “Eh eh, budak perempuan ini, kuat menyibuk betul lah! Cepat pergi dari sini! Tinggalkan sahaja pizza itu di pintu,” tengking si botak semakin geram.
            “Okay…okay…minta maaf kerana mengganggu, encik,” kata gadis itu akhirnya sambil meletakkan kotak pizza di tepi pintu dan berlalu. Chals sudah pucat lesi melihat satu-satunya peluang meminta bantuan sudah beredar pergi. Menelan liur dia terasa dirinya mengeletar memandang bagaikan empat buah gunung tinggi dihadapannya kini.
***

            “Encik…encik, tolonglah jangan apa-apakan saya! Saya bukan Rulupin. Nama penuh saya Chaldan Bin Zamri, Encik! Encik sudah lihat kad pengenalan saya tadi, bukan? Saya cuma pekerja sahaja di kedai ini,encik!” dia terus berlutut merayu.
            “Diam kamu! Apa yang kita hendak buat dengan budak ini?”
            “Hapuskan sahaja. Dia sudah lihat wajah kita, nanti dia laporkan kepada polis pula,”
            “Idea yang bagus,”
            Chals mengensot berundur apabila empat lelaki itu mula melangkah perlahan kearahnya. Oh, adakah riwayatnya akan tamat di situ?
            “Tidak memukul perempuan mungkin sikap yang budiman, encik. Tetapi bila empat lelaki cuba memukul seorang lelaki yang ternyata bukan lawan mereka, itu pengecut namanya wahai encik,”
            Tercengang-cengang empat lelaki itu apabila satu suara menyapa cuping telinga. Rupanya gadis penghantar pizza tadi sedang bersandar di pintu kedai. Jika tadi dia kelihatan naif dengan mata bundarnya, kini dia nampak berbeza.
            “Chals tiada kena mengena dalam hal ini, bukan? Jadi lepaskan dia,” selamba gadis itu menyuruh.
            “Bos! Bos, tolong saya! Tolong saya, Bos!” terdengar suara Chals yang mengeletar.
            “Bukankah aku yang kamu cari?”
            Kata-kata gadis itu membuatkan empat lelaki bersut hitam terpingga-pingga. Mereka memandang ke arah gadis itu dan Chals silih berganti seolah sedang memerhatikan perlawanan tenis. Akhirnya pandangan mereka berhenti pada wajah si gadis bertudung hitam.
            “Bos?”
            “Rulupin? Jadi kau lah Rulupin yang kami cari? Rulupin si penyiasat upahan itu?”
            “Bos tidak kata pun yang Rulupin itu adalah seorang perempuan?”
            Rulupin cuma tersenyum kecil. Perlahan dia menanggalkan kaca mata tanpa bingkainya dan juga jam tangan.
            “Mungkin dia tidak mahu mendedahkan bahawa seorang perempuan yang berjaya mengumpul maklumat tentang kuropsinya di Syarikat Mega Bakti, malah memberikan semua maklumat itu kepada pihak polis. Kini terpaksa berhadapan pula dengan hukuman penjara. Dia merasa hal itu menjatuhkan maruah dia agaknya,” katanya.
            Keempat-empat lelaki bersut hitam yang tadinya terpingga hairan, bagaikan tersedar sebaik mendengar kata-kata itu. Masing-masing menderam tidak puas hati merenung bak helang pada Rulupin. Ternyata Rulupin tidak gentar dengan ugutan dari pandangan mereka apabila dia cuma senyum.
            “Kamu ternyata hebat juga ya, kerana dapat menjejak aku di sini. Belum pernah lagi ada samseng datang mencari aku sampai ke Keuriositi. Mungkin bos kamu terlalu mendesak kamu mencari aku ya?”
            “Jangan banyak cakap lagi. Sekarang kami sudah kepung kau! Kau ada temu janji dengan bos kami!” keras dan terang suara lelaki botak.
            “Temujanji ialah pertemuan di atas persetujuan di antara dua individu, bukan? Rasanya aku tidak pernah bersetuju hendak bertemu dengan bos kamu itu,”
            Ketua lelaki bersut hitam nampaknya tidak menghiraukan jawapan Rulupin. Dia berpaling memandang kebelakang dan mengisyaratkan sesuatu kepada anak-anak buahnya. Tiga lagi lelaki bersut hitam itu mengerti dan mula melangkah mendekati Rulupin.
            “Bos! Berhati-hati bos!” suara Chals kedengaran lagi. Walaupun tidak lagi tersenyum namun Rulupin tetap kelihatan tenang. Matanya tidak lepas memandang tiga lelaki yang sedang melangkah kearahnya. Ketiga-tiga lelaki itu tersengih-segih sinis, dalam hati beranggapan menangkap seorang gadis bukannya satu perkara susah. Melainkan gadis itu sebenarnya pakar dalam seni mempertahankan diri.
            Rulupin terlalu pantas untuk mereka. Tidak sampai satu minit, tiga lelaki besar itu sudah terbaring mengerekot di lantai Keoriositi. Ada yang memeluk perut, menekup kepala dan juga mengosok-gosok tulang kering. Mereka tidak mampu bersuara, hanya kerutan di dahi masing-masing menunjukkan merekan dalam kesakitan.
            Chals mengosok-gosokkan matanya beberapa kali, cuba memastikan dia tidak tersalah lihat. Mulutnya bagaikan tidak dapat terkatup lagi. Terdengar dengusan kuat di sebelahnya. Dilihatnya ketua lelaki bersut hitam yang botak itu sedang menahan kemarahan kerana tidak menyangka anak buahnya tertewas awal. Kembang kuncup hidungnya bak serobong kereta api sambil memandang tajam pada Rulupin.
            “Aku berikan kau peluang terakhir. Pergi dari sini sekarang bersama anak buah kau ini dan aku tidak apa-apa kan kau,” kata Rulupin dengan nada serius. Kata-katanya hanya membuatkan si botak itu bertambah berang. Dengan penumbuk yang digenggam, dia menerpa ke arah Rulupin seperti ahli sumo.
            SWOSH! SWOSH!
            Bunyi udara bergeser dengan penumbuk gergasi si botak itu membuatkan Chals kecut perut. Dia cuma mampu menggigit jari ngeri melihat Rulupin bergerak pantas mengelak dari semua tumbukan itu.
            “Jaga-jaga bos...elak bos...elak bos...ELAK! Woah...” Chals mengurut dada lega apabila leher Rulupin hampir dicengkam oleh jari-jermari gergasi itu namun Rulupin bagaikan gimnas terlatih segera membuat lompatan kuak belakang, sekali gus menghadiahkan tendangan ke dagu si botak.
            Terundur-undur dia menerima tendangan itu. Dia bernafas kencang, mengesat dagu sambil merenung Rulupin tajam. Gadis itu cuma menyungging senyum.
            “Aku masih di sini,”
            “Mustahil aku akan di kalahkan oleh penyiasat kecil-kecilan seperti kau!” teriak si botak tidak berpuas hati dan terus menerpa. Kali ini Rulupin tidak mengelak seperti tadi, tetapi dia juga menerpa. Tanpa diduga dia menunduk untuk melibas kaki si botak menggunakan penendangnya. Akibat hilang keseimbangan, lelaki itu terhantuk kuat pad arak buku sebelum jatuh tersembam dan pengsan.
            Rulupin melepaskan keluhan. Dia bercekak pinggang memandang sekitar kedainya yang berantakan.
            “Saya tidak suka sebenarnya melihat huru hara di kedai buku. Entah darimana lah mereka mendapat maklumat tentang kedai ini,” dia mengomel perlahan.
            “Bos!” bentak Chals dengan nada yang hampir menangis sambil lekas-lekas dia berdiri.
            “Mengapa Bos tidak bantu saya awal-awal tadi ketika bos muncul? Menyamar jadi penghantar pizza pula? Saya sangkakan saya akan teruk dikerjakan mereka tadi...” terus perlahan nadanya seolah menahan sebak. Rulupin berpaling memandangnya dengan riak rasa bersalah.
            “Maaf, Chals. Tetapi saya terpaksa buat begitu. Jika saya masuk dan dan terus serang sahaja, kekurangan berada di pihak kita,”
            “Kekurangan?”
            “Iyalah, manalah tahu rupa-rupanya bukan mereka berempat sahaja yang berada dalam kedai ini, tetapi ada lagi berbelas orang yang sedang bersembunyi di pelosok Keuriositi ini,”
            Chals yang tadinya sudah memasang mimik merajuk, sudah terlopong dengan mata hampir terjojol.
            “Oh! Oh, saya tahu! Bos berpura-pura menyamar sebagai penghantar pizza sebenarnya untuk mengenalpasti keadaan di dalam kedai ini, dan kali kedua bos muncul barulah bos lancarkan serangan?” soalnya dengan suara yang nyaring.
            “Tidak...kita buat perundingan elok-elok meminta mereka beredar. Jika mereka sudah gunakan kekerasan, barulah kita pertahankan diri. Pergaduhan adalah baik dielakkan, Chals,”
            Chals mengangguk-angguk mendengar jawapan Rulupin. Kelam kabut dia mengeluarkan buku nota kecil dari kocek kemejanya dan mula mencatit sesuatu dengan laju.
            “Kenal pasti...perundingan...elak pergaduhan...” gumamnya perlahan.
            Rulupin cuma mendengus senyum melihat pekerjanya itu. Sekali pandang mungkin ramai yang mengatakan Chals adalah lelaki yang mudah kalut, cepat cemas, lemah dan nampak penakut. Namun dari sisi lain, lelaki itu rajin, amanah dan setia. Kerana itu juga Rulupin mengambilnya berkerja di Kedai Keuriositi setahun yang lalu. Malah setelah mengetahu pekerjaan sebenar Rulupin secara tidak sengaja (Chals terjumpa fail sulit sewaktu mengemaskan meja kaunter) lelaki itu mahu berguru pula dengannya. Kononnya mahu menjadi penyiasat upahan juga.
            Rulupin terus menuju ke meja kaunter dan mula mengeluarkan beberapa fail dari meja sebelum menunduk ke bawah meja di mana terdapat peti simpanan besi sederhana kecil.
            “Ambil apa yang penting, Chals. Jangan lupa kosongkan tong sampah,” arah Rulupin dari bawah meja.
            “Kenapa bos? Hendak buat apa?”
            “Hendak buat apa lagi? Tinggalkan tempat inilah. Jika sudah ada orang mencari Rulupin si penyiasat sampai ke sini, ternyata sudah tidak selamat saya bersembunyi di sini lagi,”
            “Habis...mengapa hendak kosongkan tong sampah?”
            “Buat sahaja. Awak jangan lupa bawa barang-barang awak. Oh ya, jangan lupa packing beberapa buku yang saya suka baca. Tidak mahu merasa bosan semasa dalam perjalanan nanti,”
            Chals terdiam. Terkebil-kebil dia sambil memandang sekeliling kedai itu.
            “Kita akan berpindah? Tinggalkan kedai ini begitu sahaja?” soalnya dengan nada perlahan.
            “Terpaksa. Tidak mustahil akan ada lagi yang datang mencari saya di sini. Jika saya terus berada di sini, nyawa saya dalam bahaya,” jawab Rulupin. Chals bereaksi agak keterlaluan dengan sebelah tangan menekup mulut yang sudah terlepas jeritan kecil dan sebelah tangan lagi mencengkam kolar kemejanya. Rulupin keluar dari bawah meja dengan sebuah beg sandang yang agak kembung. Dia memandang Chals dengan tenang.
            “Jangan terlalu terkejut, Chals. Inilah risiko yang harus di ambil oleh seorang penyiasat upahan. Menjadi musuh kepada mana-mana individu yang dibongkarkan jenayahnya. Masih belum terlambat untuk awak menarik diri dari bidang ini, Chals. Nasihat ikhlas saya,” kata Rulupin sambil melangkah ke arah mesin faks pula.
            Chals menurunkan kedua tangannya. Dia mengetap bibir terdiam agak lama. Rulupin pula kelihatan sibuk memeriksa sesuatu di mesin faks itu. Setelah berdiam agak lama, Chals teragak-agak membuka mulutnya dan berkata,
            “Saya..saya tidak pernah bercadang mahu berhenti. Tetapi jika boleh, bos..bos ajarlah saya cara-cara mempertahankan diri jika diserang supaya...supaya saya dapat jaga diri saya...”
            Rulupn tidak menjawab. Dia beralih dari mesin faks itu sambil menyungging senyum memandang Chals yang memandangnya takut-takut.
            “Tunggu apa lagi? Cepat kosongkan tong sampah. Kita beredar sebelum empat samseng ini terjaga. Biarkan saya kedai ini begini. Sebentar lagi kawan saya akan selesaikan,” katanya terus membuatkan Chals menguntum senyuman lebar.
            “Segera menjalankan tugas, bos!” kata Chals sambil melompat riang menuju ke arah tong sampah yang terletak di tepi rak buku. Sambil bernyanyi kecil dan sumbang, dia mula mengikat plastik sampah. Rulupin sesekali memandang ke arahnya cuma tergeleng-geleng kecil.
            “Biarkan saja suis lampu itu, Chals...”
            Belum pun sempat Rulupin menghabiskan ayatnya, terdengar jeritan nyaring Chals. Kelam kabut Rulupin berpaling memandangnya dan melihat lelaki berkepala botak tadi sudah tersedar dari pengsan dan sedang mencengkam pergelangan buku lali Chals.
            “Kamu sangka kamu akan dapat melepaskan diri?” menderam suaranya berkata dengan wajah yang masih pening-pening lalat. Chals yang ketakutan hanya mampu menjerit sambil memejam mata. Sedikit kaget, Rulupin mengambil apa yang mampu tercapai olehnya di atas meja kaunter dan mengetuk kuat kepala lelaki botak itu.
            PAK!!
            “Aduh! Mengapa pukul kepala ibu dengan sayur?!”
            Tercengan Rulupin sebaik mendengar suara perempuan yang keluat dari mulut si botk itu. Suara itu pula amat di kenalinya.
            “Ib...ibu?”

***

            “Ya Tuhan! Apa kena dengan kamu ini, Lupin? Dipanggil dari tadi tidak menyahut! Kemudian ketuk kepala ibu pula! Kamu mengigau ya?” memetir suara Puan Norma yang bercekak pinggang memandang anak sulungnya itu. Di dahinya masih melekat beberapa helai daun sayur kangkung.
            Rulupin masih berdiri tercengang di tempatnya sambil memandang sekeliling pasar besar itu kemudian beralih memandang tangannya yang memegang seikat sayur kangkung.
            “Eh? Sayur? Aku ketuk si botak tadi dengan sayur kah?” dia menyoal sendiri.
            Kedengaran Puan Normah mendengus dan mengeleng-geleng geram sehingga jatuh gugur daun kangkung di dahinya.
            “Apa yang kamu merepek ini? Siapa si botak? Huh, memang sah kamu tengah mengigau, bukan? Ibu suruh kamu ikat sayur-sayur ini tetapi kamu boleh tidur pula, Rulupin?”
            Suara bak petir itu membuatkan Rulupin benar-benar segar. Beberapa pengerai sayur yang berjiran dengan gerai mereka sudah tertoleh-toleh. Tergaru-garu dagu, Rulupin memandang ibunya sambil tersengih-sengih
            “Maaf, maaf. Tidak sengaja tertidur ibu,” katanya. Puan Normah tidak berkata apa-apa, tetapi asyik tergeleng. Dia mengerutkan keningnya menyungging kepala ke arah sebakul sayur kangkung yang belum diasingkan. Faham dengan isyarat itu, Rulupin mengangkat tabik hormat dan kembali meneruskan kerjanya.
            Tersenyum-senyum Rulupin semasa mengikat sayur kangkung itu apabila teringatkan mimpinya tadi.
            “Rulupin si penjual sayur sudah jadi Rulupin si penyiasat? Boleh tahan bergaya juga aku. Chals pula adalah anak murid aku? Pasti bising mulut dia jika tahu tentangnya,” bisiknya dan ketawa gelihati sendirian. Dia membuat nota di dalam kepala untuk mencatat butir-butir mimpi nya tadi, hendak menjadikannya plot untul novel agungnya.
            “Novel agung konon...perenggan pertama pun belum ada,” bisiknya sendirian, ketawa lagi.

Selasa, 9 Julai 2013

Satu hari nanti?

"Satu hari nanti aku akan baiki bumbung rumah yang bocor itu,"

"Satu hari nanti aku akan tulis juga idea-idea di dalam kepala aku ini menjadi novel,"

"Satu hari nanti aku akan berhenti minum arak juga lah,"

"Satu hari nanti aku akan pakai tudung juga, tengoklah nanti,"

"Satu hari nanti aku akan mula solat lima waktu,"

"Satu hari nanti ada juga hidayah untuk aku lah,"

"Satu hari nanti aku tahulah aku taubat..."

Satu hari nanti, ya satu hari nanti. Kita mungkin pernah berazam untuk berbuat kebaikan satu hari nanti. Tetapi tahukah anda satu hari nanti itu adalah kod untuk perkataan 'TIDAK AKAN' ?

Hanya satu saat menjadi perbezaan antara HIDUP dan MATI.

So why dont we start to do something good now for a greatest good later eh?

Selamat berpuasa ^^

Ahad, 7 Julai 2013

Keindahan Ramadhan


"Asal bulan puasa sahaja masjid penuh, orang sana sini pasang mp3 orang mengaji, baru mahu pakai tudung, tutup aurat, jaga tingkah laku,"

"Habis tu? Takkan lah kau tidak puas hati pula dengan situasi begitu?"

"Bukan...maksud aku, mengapa dalam bulan Ramadhan sahaja baru kulihat ramai yang begitu..."

Senyum.

"Siapa dirantai pada bulan Ramadhan?"

"Syaitan,"

"Apa sumpah Syaitan ketika Allah SWT menghalaunya dari Syurga setelah ingkar sujud pada Nabi Adam A.s?"

"Erm...ia akan berusaha untuk mempengaruhi seberapa banyak anak cucu Adam menemaninya di Neraka nanti,"

"Jadi?"

"Err...jadi...jadi..."

"Jadi apabila Syaitan dirantai, ia tidak akan dapat mengkaburkan pandangan kita pada perkara-perkara yang suci. Kerana itu ramai yang tersentuh mendengar lantunan ayat-ayat suci Al-Quran, bergetar jiwanya mendengar siksaan neraka pada mereka yang melakukan perkara mungkar, terpana melihat keindahan masjid yang merupakan tempat kita menyembah ALLAH SWT. Ketika inilah kita benar-benar boleh shopping pahala kerana pintu Syurga di buka seluas-luasnya. Jadi, berdoa lah kita untuk istiqamah apabila menjadi mukmin yang baik walaupun selepas bulan Ramadhan yang mulia,"


Selamat berpuasa saudara-saudari, ^^

p/s: gambar di atas sebenarnya gambar eclipse je hehe
 

Khamis, 4 Julai 2013

Pilihan

Jika kaki anda bersaiz 8, adakah anda mahu memakai kasut bersaiz 6?
Tidak mahu bukan? Sebab? Sudah tentu kerana sempit dan kita yang kesakitan akhirnya, langkah pun jadi tidak sempurna.

Jadi...
Jika anda sudah tahu yang sebuah stesen Tv ini hanya menyiarkan berita yang berat sebelah, tidak telus dan penuh propa...mengapa anda masih mahu menontonya? dan kemudian marah-marah, sakit hati, bengang-bengang sendiri kemudian post status kutuk-kutuk di FB?

Jadi...
Jangan sampai diri kita yang menzalimi diri kita sendiri